MELAKA - Kerajaan negeri mencadangkan kepada kerajaan Pusat agar memberi vaksin kepada pemain industri pelancongan pada fasa kedua dalam Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan untuk memulihkan industri itu
Exco Pelancongan, Warisan dan Kebudayaan, Datuk Muhammad Jailani Khamis berkata, langkah itu bagi memastikan pekerja pelancongan yang dianggap seperti petugas barisan hadapan bagi ekonomi sesetengah negeri, khususnya Melaka yang berteraskan negeri pelancongan diberikan keutamaan sebagai penerima pada fasa kedua.
Menurutnya, beliau yakin pemberian vaksin secara lebih awal boleh membantu memulih dan merancakkan sektor pelancongan selain mengembalikan keyakinan pelancong selain dapat mengekang penularan pandemik Covid-19.
Malah katanya, perkara itu turut menjadi keutamaan Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md Ali supaya pekerja bidang itu diberi keutamaan untuk menerima vaksin memandangkan sektor pelancongan menyumbangkan hasil pendapatan 48 peratus ekonomi negeri.
"Pekerja pelancongan merupakan antara individu yang paling banyak berinteraksi dengan rakyat serta pelancong, jika mereka diberikan vaksin, mereka akan imun terhadap Covid-19 lebih awal.
"Kita bukan sahaja dapat membendung penularan Covid-19, tetapi pada masa sama orang ramai juga tidak takut untuk melancong dalam negeri," katanya pada sidang akhbar di Pejabat Bahagian Promosi Pelancongan (BPP), di Ayer Keroh, di sini pada Jumaat.
Muhammad Jailani yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rembia berkata, Melaka merupakan negeri pelancongan yang bergantung sehingga 70 peratus kepada kedatangan pelancong domestik ke negeri ini maka pihaknya berharap kerajaan juga dapat mempertimbangkan agar dibenarkan aktiviti rentas negeri selepas proses imunisasi vaksin Covid-19 bermula pada 26 Februari ini.
"Dengan kebenaran rentas negeri, sekurang-kurangnya kita dapat mengurangkan kerugian yang dialami sebelum ini, terutamanya membabitkan sektor perhotelan yang paling terjejas teruk," katanya.