Kerajaan Persekutuan, Sabah komited bangunkan sektor pertanian

Iklan
Datuk Seri Dr Ronald Kiandee

SHAH ALAM- Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri Sabah komited untuk terus bekerjasama bagi memastikan pembangunan sektor pertanian dan menjamin keselamatan makanan negara.

Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata, bagi tujuan itu, beberapa perkara dibincangkan dalam pertemuan dengan Ketua Menteri Sabah, Datuk Hajiji Noor di Pusat Pentadbiran Negeri Sabah (PPNS) di Kota Kinabalu pada Jumaat.

Iklan
Iklan

Kunjungan tersebut turut disertai Ketua Pengarah Kawal Selia Padi dan Beras merangkap Setiausaha Bahagian Industri Padi dan Beras, Azman Mahmood; Timbalan Ketua Pengarah Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM), Mohd Khairuzamri M.Salleh; Pengarah Pembangunan Peladang Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS), Abu Sujak Sanusi dan Pengarah Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA) Kota Belud, Salmah Labulla.

Ronald turut mengunjungi Timbalan Ketua Menteri II Sabah merangkap Menteri Pertanian dan Perikanan, Datuk Seri Panglima Dr Jeffery G Kitingan.

Iklan

Menurutnya, perbincangan menjurus kepada Rang Undang-Undang Kualiti Benih Tanaman dan Rang Undang-Undang Baja yang akan dibawa ke Parlimen pada sidang yang akan datang.

"Selain itu, pendekatan baharu melalui pertanian skala besar bagi peningkatan pengeluaran padi dan beras, penglibatan pihak swasta dan pemain industri, pelaburan dalam industri ruminan turut dibncangkan.

Iklan

"Ia bagi tingkatkan tahap sara diri (SSL) daging tempatan, pengembangan industri buah-buahan tempatan, perluasan Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu (AIDA) yang baharu serta cadangan mewujudkan Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM) di negeri Sabah,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Ronald turut mengadakan perjumpaan dengan Korporasi Kemajuan Perikanan dan Nelayan Sabah (Ko-Nelayan) bagi membincangkan cabaran yang dihadapi organisasi berkenaan dalam membangunkan komuniti nelayan dan pembangunan industri perikanan negeri.

Katanya, kerjasama berterusan akan diperkukuhkan dengan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) dan Ko-Nelayan bagi meningkatkan taraf hidup komuniti nelayan dan sektor perikanan secara keseluruhannya.