Suntik atau hantar balik PATI

Iklan
Noorzainy (berdiri tengah) sedang bertanya sesuatu kepada pekerja asing yang ditahan.

MALAYSIA bakal menerima bekalan vaksin Covid-19 keluaran Pfizer-BioNTech pada Ahad ini. Ia menjadi titik permulaan pelaksanaan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan bertemakan ‘Lindung Diri, Lindung Semua’ pada 26 Februari yang akan menyaksikan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menjadi orang pertama menerima suntikan vaksin.

Umum tahu program imunisasi Covid-19 memberi keutamaan kepada petugas barisan hadapan, golongan berisiko seperti warga emas dan golongan rentan dengan masalah morbiditi seperti penyakit jantung.

Iklan
Iklan

Namun sebagai negara yang mempunyai dasar kemanusiaan tinggi, kerajaan secara prinsipal turut setuju memberi suntikan vaksin percuma bukan sahaja kepada warganegara tetapi juga bukan warganegara termasuklah pendatang asing tanpa izin (PATI) yang berada di negara ini.

Sekiranya terlaksana, dianggarkan kira-kira 4.6 juta orang PATI di negara ini akan turut terlibat, namun persoalannya adakah mereka sanggup tampil dan berdepan risiko dihantar pulang semata-mata untuk menerima suntikan vaksin Covid-19.

Iklan

Bahkan, sekiranya harga vaksin sekitar RM70 dan perlu disuntik kepada 4.6 juta PATI, adakah wajar kita membelanjakan RM322 juta kos untuk vaksinasi kumpulan pekerja asing ini?

Dilema disuntik atau dihantar pulang itu membawa perhatian kepada rasional di sebalik mengapa kerajaan mahu memberikan suntikan vaksin percuma iaitu tidak lain tidak bukan untuk mencapai imuniti kelompok.

Iklan

Pakar Epidemiologi Universiti Malaya (UM), Datuk Profesor Dr Awg Bulgiba Awg Mahmud berkata, vaksinasi mesti meliputi sekurang-kurangnya 80 peratus penduduk negara untuk memastikan objektif imuniti kelompok tercapai.

"Seperti yang dipersetujui Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV) sekurang-kurangnya 80 peratus penduduk negara mesti divaksinasi untuk mencapai imuniti kelompok dan seterusnya keluar daripada cengkaman Covid-19 ini.

Katanya, Malaysia mempunyai bilangan warga asing termasuk PATI yang cukup ramai dan adalah mustahil untuk mencapai imuniti kelompok ini tanpa memberi vaksin kepada golongan terbabit.

Menurut Awg Bulgiba, faktor tiada vaksin Covid-19 yang telah selesai diuji ke atas kanak-kanak berumur bawah 16 tahun pada ketika ini bermakna vaksin Covid-19 tidak dapat diberi kepada kanak-kanak.

"Demi melindungi mereka, vaksin perlu diberi kepada orang dewasa tidak kira sama ada warganegara atau bukan,” katanya.

Awg Bulgiba yang mengetuai Jawatankuasa Penasihat Bebas Vaksinasi Covid-19 turut menzahirkan kebimbangan golongan PATI bakal menjadi bom jangka dan meledakkan lebih banyak kes Covid-19 sekiranya tidak menerima suntikan vaksin dalam masa terdekat.

"Pada waktu ini, banyak kluster tempat kerja melibatkan warga asing (yang mungkin berdaftar) disebabkan tempat tinggal mereka yang sempit dan tidak selesa, golongan PATI juga tinggal dalam persekitaran sama,” katanya lagi.

Menjawab bagaimana mahu memujuk golongan PATI tampil mendapatkan vaksin, Awg Bulgiba berkata, golongan tersebut perlu didekati melalui pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan organisasi yang mereka percayai seperti UNHCR atau pemimpin warga asing yang berdaftar.

Bagi Pengerusi Yayasan Keprihatinan Komuniti Malaysia (MCCF), Datuk Halim Ishak, pihaknya menyokong penuh inisiatif kerajaan dalam memutuskan rantaian Covid-19 dengan memberikan suntikan percuma kepada semua warganegara dan warga asing.

Namun Halim mengakui golongan PATI akan lebih berasa bimbang risiko ditahan atau dihantar pulang berbanding tampil secara sukarela ‘menyerah diri’ untuk menerima suntikan vaksin Covid-19.

"Antara cara yang boleh dilakukan agar mereka tampil adalah semua permohonan Pelan Rekalibrasi PATI sama ada sebelum dihantar pulang atau permohonan untuk bekerja semula di negara ini diwajibkan untuk divaksin,” Halim kepada Sinar Harian.

Tambahnya, sebagai NGO yang banyak terlibat dalam isu membabitkan PATI sejak tahun 2015, MCCF siap siaga membantu usaha kerajaan sekiranya diperlukan.

"Kami sentiasa sedia membantu selain mempunyai mekanisme tersendiri untuk menolong kerajaan merealisasikan pelaksanaan pemberian vaksin Covid-19 kepada golongan PATI yang sememangnya ramai di Malaysia,” katanya.