‘Tuhan beri saya peluang kedua’

Iklan
Ziyan dan rakan-rakannya membantu melakukan kerja-kerja sanitasi di tempat tumpuan awam seperti masjid.

MARANG - Merasai sendiri keperitan dijangkiti Covid-19 membuatkan Ziyan Syamil Zakhli, 26, sedar akan peluang kedua yang diberikan Ilahi untuk terus bersyukur dengan nikmat kesihatan yang diberikan.

Beliau yang juga Pegawai Pemerintah Tertinggi GM Medic Rescue berkata, dia disahkan dijangkiti Covid-19 pada 16 Januari lalu dan sembuh sepenuhnya pada 26 Januari.

Iklan
Iklan

Menurutnya, sebaik sahaja disahkan positif, dia dihantar ke Pusat Kuarantin Covid-19 di Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Dato' Razali Ismail, Kuala Nerus sebelum dirujuk ke Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu kerana menghadapi masalah pernafasan.

"Sebelum disahkan positif Covid-19, saya mengalami sengal-sengal badan, kerongkong terasa pedih dan hilang deria bau. Saya kemudiannya mengambil keputusan untuk menjalani ‘swab test’ dan disahkan positif.

Iklan

"Selepas itu, saya dihantar ke pusat kuarantin di Kuala Nerus. Alhamdulillah, rasa takut pada mulanya itu bertukar kepada seronok kerana suasana di sana jauh berbeza dan saya dikelilingi dengan ‘aura positif’.

"Selain memberikan sokongan antara satu sama lain, kehidupan juga lebih teratur kerana kami bersama-sama menunaikan solat berjemaah dan turut sama bersukan. Petugas kesihatan dan keselamatan juga sangat membantu sehinggakan hilang rasa sedih yang bersarang di hati,” kata anak kedua daripada tiga beradik itu.

Iklan
Ziyan (kiri) bersama rakan-rakannya turut menjadi sukarelawan melakukan kerja-kerja sanitasi percuma di tempat awam seperti di masjid.

Jelas Ziyan, apa yang menghibakannya adalah apabila melihat pelbagai golongan usia, termasuk kanak-kanak seawal usia tiga tahun yang turut sama dijangkiti Covid-19.

Apa yang berlaku katanya, membuatkan dia lebih bersyukur dengan nikmat kesihatan yang diberikan ALLAH SWT dan mendekatkannya kepada Ilahi.

"Dalam tempoh rawatan, saya juga dimasukkan ke ICU kerana menghadapi masalah pernafasan. Syukur kerana saya hanya perlu berada di ICU selama dua hari.

"Alhamdulillah, selepas saya kembali sihat dan diisytiharkan bebas Covid-19, saya dapat rasakan perubahan kepada badan. Badan terasa lebih ringan dan sihat,” katanya.

Ziyan juga mengharapkan masyarakat tidak sesekali menyisihkan individu yang dijangkiti Covid-19, mahupun yang telah diisytiharkan bebas daripadanya dan bersama-sama memberikan sokongan agar mereka terus kuat serta bersemangat meneruskan kehidupan.