ALOR SETAR - Ahli Jawatankuasa Eksekutif Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) menyokong penuh keputusan Presidennya, Muhammad Sanusi Md Nor yang tidak meneruskan rundingan saham Kedah Darul Aman (KDA) FC bersama syarikat swasta.
Pihak tersebut menyokong pasukan diuruskan sepenuhnya oleh syarikat Darul Aman Football Club Sdn Bhd (DFC) buat masa ini selain meninjau peluang pelaburan dengan terus membuka pintu rundingan dengan mana-mana pihak yang ingin membuat penawaran lebih lestari dan menguntungkan kedua-dua pihak.
"KFA menekankan bahawa setiap tawaran dilakukan biarlah bermaksud untuk pemilikan saham tanpa melibatkan galang ganti hak rakyat negeri Kedah.
"Ahli Jawatankuasa Eksekutif KFA percaya kepada kebijaksanaan presiden dalam membuat keputusan yang diumumkan baru-baru ini selepas mempertimbangkan semua aspek teknikal dan perundangan.
"Cadangan pelaburan syarikat tersebut tidak dapat dipersetujui kerana melibatkan aset utama rakyat negeri Kedah," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Mengulas lanjut, tindakan Muhammad Sanusi yang juga Menteri Besar Kedah memberi keutamaan hak rakyat dan melihat keuntungan jangka panjang kepada rakyat Kedah berbanding pulangan pelaburan jangka pendek kepada KDA FC adalah keputusan yang cukup jelas dan berhemah sebagai seorang ketua pentadbir negeri.
"KFA menyokong penuh jika di masa hadapan, rundingan pengambilalihan saham KDA FC diteruskan kepada mana-mana pihak yang berkemampuan untuk mengurus operasi KDA FC tanpa meletakkan tawaran berserta syarat di luar bidang kuasa syarikat pengurusan sebagai galang ganti untuk menjalankan pelaburan.
"Kami percaya banyak lagi model pelaburan yang lebih menguntungkan kedua-dua pihak jika sesuatu pelaburan itu bersandarkan kepada industri bola sepak dan melihat kelestarian sesuatu pelaburan di tempat yang sepatutnya," katanya.
Pada Rabu lalu, Sinar Harian melaporkan KDA FC akan dikendalikan sepenuhnya oleh DFC setelah rundingan pengambilalihan 80 peratus saham dengan syarikat swasta gagal dimuktamadkan.
Presiden KFA, Muhammad Sanusi Md Nor berkata, rundingan itu menemui jalan buntu apabila beberapa permintaan daripada syarikat berkenaan tidak dapat dipenuhi oleh KFA dan kerajaan negeri.
Menurutnya, keputusan itu dibuat setelah pihaknya membuat penilaian sewajarnya, selain disifatkan mendatangkan lebih banyak kerugian berbanding manfaat kepada rakyat Kedah.
ARTIKEL BERKAITAN: KDA FC: Rundingan syarikat swasta gagal dimuktamad
Terkilan rundingan KDA FC ditamatkan tanpa penjelasan