KOTA BHARU – Lebih 30 pemandu kereta sewa daripada Persatuan Kereta Sewa Gabungan Kelantan Barat terpaksa melepaskan permit dimiliki mereka kerana tidak mampu bertahan akibat kekurangan pelanggan sejak penularan Covid-19.
Perkara tersebut diakui Bendahari Persatuan Kereta Sewa Gabungan Kelantan Barat, Faizul Mustapa, 60 tahun yang memberitahu, pemulangan permit tersebut berlaku kerana mereka tidak mampu untuk menanggung bebanan tanpa pelanggan.
Katanya, sejak penularan Covid-19 dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), ia memutuskan rezeki pemandu-pemandu tersebut kerana masyarakat tidak dibenarkan keluar ke bandar.
"Sebelum ini kita akan pandu kereta sewa dari Pengkalan Kubor, Pasir Mas dan sebagainya. Memang ada seorang atau dua orang setiap hari. Tapi kini, nak dapatkan RM10 seminggu pun susah.
"Oleh sebab itu ramai pemandu yang pulangkan permit kenderaan teksi ini sebab tidak lagi mampu untuk melaksanakan kerja ini, selain daripada faktor umur yang semakin meningkat,” katanya kepada pemberita di sini.
Beliau menerima kunjungan daripada Ahli Majlis Tertinggi Bersatu, Datuk Mohamed Farid Mohamed Zawawi di stesen kereta sewa di Kota Bharu, Pasar Pohon Pinang, di sini pada Sabtu.
Sementara itu, Ismail Kadir, 67, memberitahu, pihaknya terpaksa menunggu hampir setiap hari di stesen berkenaan walaupun sedar tiada pelanggan yang menggunakan perkhidmatan mereka dalam tempoh kini.
Bagaimanapun, dia dan rakan-rakan tetap melaksanakan tanggungjawab sebaik mungkin walaupun tahu akan pulang dengan tangan kosong.
"Kita tetap datang, walaupun balik dengan tangan kosong, rezeki kita tidak tahu. Apa yang penting, usaha dan tawakal. Memang sedih dan perit, ini saja kerja yang kami mampu lakukan.
"Kita berharap kerajaan dapat membantu apa yang patut. Memang semua orang terkesan, tapi diharapkan kerajaan negeri dapat lihat apa yang boleh disalurkan kepada kami,” katanya.