KUALA LUMPUR - Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) diminta mengekalkan pengurusan tempat letak kereta Pasar Besar Taman Tun Dr Ismail (TTDI) kepada Persatuan Kebajikan Penjaja dan Peniaga Kecil Pasar Besar TTDI.
Ahli Parlimen Segambut, Hannah Yeoh berkata, DBKL diminta pertimbangkan kontrak yang bakal tamat Mac ini diperbaharui untuk tempoh tiga tahun lagi berdasarkan prestasi dan pengalaman pihak persatuan menguruskan tempat letak kereta pasar berkenaan.
Menurutnya, banyak perubahan dilakukan oleh pihak persatuan sejak mengambil alih pengurusan kemudahan tersebut daripada syarikat swasta, dua tahun lalu.
"Sebelum Pilihan Raya Umum 2018, tempat letak kereta di Pasar Besar TTDI dikendalikan oleh syarikat swasta yang dilantik DBKL. Ketika itu, ramai pengunjung pasar mengadu mereka selalu tidak berpeluang meletakkan kereta di sana kerana sentiasa penuh.
"Kemudian saya telah meminta bekas Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Nor Hisham Ahmad Dahlan mengatasi masalah ini dan kami berjaya mengembalikan semula pengurusan tempat letak kereta kepada persatuan," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Katanya, antara pembaharuan yang memberi impak besar sejak persatuan mengambil alih pengurusan ialah perlaksanaan sistem pembayaran tanpa tunai mengunakan Touch ‘n Go bermula 15 Januari lalu.
"Persekitaran tempat letak kereta kini menjadi lebih kemas dan teratur, mesra alam (paperless) serta pengunjung terutama wanita dan warga emas mudah mendapatkan parkir," katanya.
Katanya, pihaknya telah menulis surat kepada Nor Hisham dan Datuk Bandar Kuala Lumpur sekarang, Datuk Seri Mahadi Che Ngah berhubung lanjutan kontrak pengurusan yang akan tamat Mac ini.
"Surat itu dihantar pada 14 Februari dan 3 Julai tahun lepas serta surat susulan pada 17 Februari lalu.
"Berdasarkan pengalaman dan prestasi persatuan, saya menggesa Datuk Bandar Kuala Lumpur memperbaharui kontrak pengendalian tempat letak kereta di Pasar Besar TTDI di bawah pengurusan persatuan dan melanjutkannya untuk tempoh tiga tahun," katanya.