KUANTAN - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) melakukan penerbangan ihsan membawa seorang pesakit strok dan sawan dari Pulau Tioman ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), di sini pada Sabtu.
Pengarah Maritim Negeri Pahang, Laksamana Pertama Maritim Datuk Amran Daud berkata, pesakit, Kamarolzaman Ismail, 70, mengalami sawan dan perlu segera dihantar ke hospital bagi mengelak kemungkinan diserang strok kali kedua.
Menurutnya, pesakit juga memerlukan pengimejan segera bagi memastikan tiada pendarahan dalam otak yang boleh menyebabkan kematian.
"Pusat Penyelaras Mencari dan Menyelamat Maritim (MRSC) Kuantan menerima panggilan daripada Pegawai Perubatan Klinik Kesihatan Tekek, Pulau Tioman jam 7.30 pagi memaklumkan seorang pesakit di Pulau Tioman memerlukan penerbangan ihsan dan rawatan segera.
"Susulan itu, helikopter jenis Agusta AW139 milik Maritim Malaysia berlepas dari Stesen Udara Maritim Subang (SUMS) dan tiba di Pulau Tioman pada jam 11.45 pagi untuk mengambil pesakit tersebut dan menerbangkannya ke Kuantan," katanya melalui satu kenyataan pada Sabtu.
Amran berkata, pesawat selamat mendarat di padang Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) pada 12.30 tengah hari dan menyerahkan pesakit kepada petugas kesihatan sebelum dihantar ke HTAA menggunakan ambulans.
"Penerbangan ihsan ini diketuai juruterbang, Leftenan Komander Maritim Mohamad Zali Yusoff dibantu pembantu juruterbang, Leftenan Madya Maritim Syahril Annuar Osman serta dua kru udara.
"Penerbangan ihsan ini adalah yang kedua tahun ini selepas Januari lalu melibatkan dua mangsa kemalangan, juga dari Pulau Tioman yang memerlukan rawatan segera di hospital,” katanya.
Katanya, sebarang aduan dan maklumat boleh disalurkan ke Pusat Operasi Maritim Negeri Pahang di talian 09-5717345 atau melalui talian bantuan kecemasan MERS 9.