SUNGAI SIPUT - MIC akan menuntut kerusi-kerusi yang boleh dimenangi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) daripada UMNO bagi membolehkan mereka berada kembali di dalam kerajaan khususnya di negeri.
Presidennya, Tan Sri S Vigneswaran berkata, seperti mana dilakukan oleh MIC pada dua pilihan raya sebelum ini dengan menyerahkan kerusi milik MIC kepada UMNO, maka parti itu juga berhasrat untuk berbuat demikian pada pilihan raya akan datang.
Menurutnya, pada PRU14 lalu, UMNO juga tewas di beberapa kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang ditandingi, maka pada PRU akan datang MIC perlu diberikan ruang bertanding di kerusi-kerusi boleh dimenangi.
"Kita memohon jasa baik UMNO juga kepimpinan negeri supaya memberikan kita satu kerusi yang boleh dimenangi supaya boleh bersama kerajaan ini (Perak) sebagai Exco kerajaan negeri.
"Permintaan kita ini bukanlah satu permintaan yang tidak waras. Oleh itu, kita akan membuat rayuan kepada pucuk pimpinan Barisan Nasional (BN), UMNO Pusat dan negeri supaya memberi kita satu kerusi yang boleh dimenangi," katanya kepada pemberita selepas Program Penyerahan Mesin Jahit dan Sumbangan Cek kepada golongan B40 sekitar Parlimen Sungai Siput di Pejabat MIC Sungai Siput di sini pada Sabtu.
Beliau berkata, mengambil contoh di Perak, MIC sanggup berkorban dengan menyerahkan kerusi DUN Behrang, DUN Hutan Melintang dan DUN Pasir Panjang kepada UMNO kerana mahu memastikan BN menerajui Perak.
Sementara itu, Vigneswaran berkata, jentera MIC sedang bersedia dan menyusun gerak kerja ke arah PRU walaupun belum ada bayangan jelas tentangnya.
Menurutnya, susunan kerusi parti itu mengikut acuan BN dan berharap pengagihan kerusi dapat diselesaikan dengan kepimpinan parti-parti di dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN).
Dalam perkembangan berkaitan, beliau mengakui ketidaksefahaman antara UMNO dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mendatangkan masalah kepada MIC untuk mempersiapkan jentera PRU15.
"Kalau tidak ada persefahaman antara UMNO dan Bersatu memang kita ada masalah kerana mengikut kerajaan yang menerajui negara ini adalah PN. Memang ada permintaan kerusi-kerusi tertentu jangan bertanding tetapi ini perkara biasa.
"Saya pasti bahawa isu-isu begini akan diselesaikan dan berharap kita akan mendapat satu persetujuan yang munasabah supaya semua akan menerima hakikat keputusan pucuk pimpinan di peringkat nasional," katanya.
Ditanya sama ada beliau yakin PRU15 akan dibuat dalam masa terdekat berikutan vaksin yang akan diberikan kepada semua rakyat, Vigneswaran berkata, perkara tersebut bergantung kepada keadaan darurat dihadapi negara.
Katanya, sebarang keputusan juga bergantung kepada pertimbangan Yang di-Pertuan Agong berdasarkan faktor keselamatan serta kesesuaian bagi menamatkan darurat berkenaan.