Guru dikritik pakai t-shirt ketika mengajar PdPR

Iklan
Murid yang mengikuti kelas dalam talian daripada Cikgu Fadli. - Foto FB Mohd Fadli Salleh.

KUALA LUMPUR - Seorang guru berkongsi luahan perasaan susulan menerima kritikan pihak luar yang mempertikaikan kaedah pembelajaran yang dilakukan secara dalam talian.

Menurut hantaran dikongsikan di Facebook Mohd Fadli Salleh, beliau berkongsi beberapa teguran diterimanya yang mempersoalkan mengenai konsep dan imejnya memakai t-shirt yang sepatutnya perlu lebih formal dengan memakai kemeja serta tali leher.

Iklan
Iklan

Menjelaskan berhubung perkara itu, guru berkenaan berkata, teguran tersebut seolah-olah memandang rendah kelayakan beliau yang memiliki diploma berbanding pengkritik yang memiliki sijil universiti luar negara.

Mohd Fadli Salleh

"Ada dah pendapat-pendapat agung kata cara itu salah, cara ini salah. Yang betulnya begitu begini.

Iklan

"Aku senyum saja baca kondeman-kondeman (komen) daripada bijak pandai ini. Malas nak berhujah, malas nak kata apa.

"Down? Tidak sesekali. Aku mangli (biasa) dah dengan golongan serba tak kena ini. Aku kalis dah dengan sindiran dan kecaman daripada golongan pendapat mereka sahaja yang betul," menurut perkongsian di Facebooknya pada Jumaat.

Iklan

Dalam perkongsian sama, beliau mengajak kelompok pengkritik itu turut serta mengadakan kelas dalam talian untuk berkongsi kepakaran mereka.

"Cuma aku hairan yang kuat kritik dan kata itu salah, ini salah, mereka satu usaha pun tak ada nak mengajar dengan cara yang paling betul seperti yang dikata.

"Dah hebat sangat, dah lulusan tinggi melangit sangat, buat lah kelas Live dan ajar cara yang paling betul atas dunia dengan imej paling terampil dan kemas.

"Buatlah. Aku nak ikut juga kelas itu ambil ilmu. Buatlah. Pasti ramai murid-murid suka," sindirnya.

Katanya lagi, walaupun kaedahnya dipertikai namun pihaknya menerima reaksi positif dalam kalangan pelajar yang seronok mengikuti kelasnya.

"Aku macam ini saja. Cikgu sekolah rendah lulusan diploma saja pun. Untuk kelas Live aku pakai santai sahaja. Pakai kemas masa mengajar di sekolah, ini kelas sampingan sahaja.

Antara perkongsian ibu bapa pelajar yang memuji kelas dalam talian yang dilakukan Mohd Fadli. - Foto FB Mohd Fadli Salleh.

"Tapi walau hanya guna pen dakwat (marker) dan papan putih (whiteboard), walau hanya lulusan rendah, murid-murid suka dan seronok. Sambutan Masya-ALLAH di luar jangkaan.

"Anak-anak sampai sanggup keluar rumah mencari capaian internet untuk belajar dalam kelas Cikgu Fadli yang lulusan rendah ni. Budak-budak usia tiga hingga enam tahun pun turut serta ikut kelas aku dan bergembira.

"Yang lulusan luar negara dengan sijil tinggi itu buatlah juga kelas macam ni. Jangan pandai komen dan kritik saja," katanya.

Mengakhiri perkongsian tersebut beliau berkata, pihaknya mengalu-alukan teguran namun biarlah nasihat tersebut bersifat membina dan bukannya menghina.

"Ada teguran secara baik tentang kesilapan aku daripada seorang rakan guru. Sangat aku hargai teguran itu dan terus perbetulkan dalam kelas terbaru. Aku yang silap masa itu. Aku memang alu-alukan teguran.

"Teruskan menegur kawan-kawan tentang kesilapan sebegitu. Status ini bukan ditujukan kepada kalian yang ikhlas menegur tetapi buat mereka yang rasa serba tak kena dengan apa yang orang lain buat," katanya.