KUALA KEDAH - Kedah turut menyokong gesaan supaya Rang Undang-undang (RUU) melibatkan isu gangguan seksual dibentangkan segera pada persidangan Dewan Rakyat akan datang.
Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Kedah, Halimaton Shaadiah Saad berkata, pihaknya melihat RUU berkenaan dapat meningkatkan kefahaman dan kesedaran terhadap isu gangguan seksual.
Selain itu katanya, RUU tersebut juga dapat mencegah dan membela nasib individu yang menjadi mangsa ganguan seksual.
"Ya, kita turut berharap ia dipercepatkan. Sebenarnya, kita pun telah dipanggil Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat untuk membincangkan perkara tersebut.
"Bagaimanapun, perancangan berkenaan tergendala berikutan situasi semasa akibat pandemik Covid-19," katanya ketika diminta mengulas mengenai isu berkenaan di sini pada Sabtu.
Halimaton Shaadiah bagaimanapun berkata, pihaknya berharap ia dapat dibentangkan pada Sidang Parlimen nanti.
Pada Isnin, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Mohd Harun memberitahu bahawa RUU gangguan seksual dijangka siap Mac ini untuk dibentangkan dalam persidangan Dewan Rakyat.
Rina berkata, draf rang undang-undang berkenaan berada di peringkat akhir bagi penelitian Jabatan Peguam Negara untuk membuat penilain jika ada pindaan-pindaan kecil dan dibentangkan sebaik Parlimen bersidang.
ARTIKEL BERKAITAN: RUU gangguan seksual jangka siap Mac: Rina