Pulau Pinang harap bantuan perumahan disalur segera

Iklan
Chow Kon Yeow

GEORGETOWN- Kerajaan Pulau Pinang berharap kerajaan Persekutuan menyalurkan bantuan RM125 juta yang telah diperuntukkan bagi penyelenggaraan perumahan berstrata kos rendah dan sederhana rendah.

Bantuan itu adalah sebahagian daripada RM1.2 bilion yang diperuntukkan oleh kerajaan Persekutuan bagi menyediakan perumahan selesa dan berkualiti kepada golongan berpendapatan rendah seperti yang diumumkan dalam Belanjawan 2021 sebelum ini.

Iklan
Iklan

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, sekiranya bantuan peruntukan RM125 juta itu disalurkan, ia membolehkan Pulau Pinang mempertimbangkan permohonan ke atas penyaluran peruntukan bagi Program Penyelenggaraan Perumahan (PPP) 2021.

Menurutnya, ia melibatkan penyelenggaraan Perumahan Awam Kos Rendah sebanyak RM21.1 juta dan di bawah Tabung Penyelenggaraan Perumahan Malaysia (TPPM) untuk penyelenggaraan di perumahan swasta yang layak sebanyak RM65.8 juta.

Iklan

"Kerajaan negeri juga berharap supaya lebih banyak projek Program Perumahan Rakyat (PPR) dibina di Pulau Pinang bagi menampung keperluan masa kini.

"Pada masa ini, hanya terdapat 999 unit di empat lokasi PPR di seluruh Pulau Pinang. Jumlah ini hanyalah picisan iaitu 0.87 peratus daripada keseluruhan 114,652 unit di seluruh negara," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Iklan

Tambahnya, pada 2019, kerajaan negeri telah mengemukakan cadangan tapak berkeluasan 29.3 hektar untuk penyediaan PPR di Pulau Pinang.

"Seperti yang kita ketahui, rumah sewa merupakan alternatif terbaik kepada golongan berpendapatan rendah sebelum mampu memiliki kediaman sendiri.

"Sebanyak RM500 juta telah diperuntukkan untuk pembinaan 14,000 unit PPR dalam Belanjawan 2021. Oleh itu, kita memohon agar kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dapat mempertimbangkan cadangan tapak daripada kerajaan negeri bagi tujuan tersebut," katanya.

Terdahulu, Kon Yeow mengumumkan pelantikan sembilan orang Ahli Lembaga Pengarah bagi Lembaga Perumahan Negeri Pulau Pinang (LPNPP).

Antara mereka adalah Kon Yeow sendiri selaku pengerusi, Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Jagdeep Singh Deo dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Abdul Razak Jaafar.

Mengulas mengenai LPNPP, Kon Yeow berkata, tujuan penubuhannya adalah bagi memacu pembangunan serta melestarikan pemajuan perumahan, khususnya pembangunan rumah mampu milik dan pembangunan semula bandar di seluruh Pulau Pinang.

"Semua bidang kuasa yang sedang dijalankan oleh Bahagian Perumahan, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang akan diteruskan LPNPP.

"Ia termasuk semua penawaran rumah mampu milik, rumah sewa-beli, Rumah Sewa Kerajaan Negeri (RSKN)/ Program Perumahan Rakyat (PPR), pengurusan serta penyelenggaraan perumahan awam dan swasta yang layak," katanya.

Tambahnya, pada ketika ini, sebanyak 113,960 unit rumah mampu milik telah dikenal pasti dalam pelbagai peringkat pelaksanaan.