Penduduk terpaksa guna air sungai untuk urusan harian

Iklan
Rohani Ibrahim@Yusoff, 48, menunjukkan air yang dipam dari anak sungai untuk kegunaan mandi dan mencuci.

KUALA KRAI - Anak sungai di belakang rumah menjadi sumber air mentah utama buat penduduk di Kampung Cabang Tiga Gemas, Jalan Sungai Sam-Dabong, di sini dalam meneruskan kehidupan harian.

Tindakan itu terpaksa diambil kerana kawasan tersebut tidak mendapat bekalan air bersih yang disediakan oleh pihak berkenaan.

Iklan
Iklan

Penduduk, Mohd Saudi Arifin, 42, berkata, masalah itu sudah berlarutan agak lama sehingga mereka terpaksa menjadikan anak sungai itu sebagai sumber utama bekalan air.

"Air sungai ini disedut menggunakan pam dan kemudian ditadah ke dalam tangki untuk kegunaan harian seperti mandi serta membasuh," katanya ketika ditemui pemberita pada Sabtu.

Iklan

Menurutnya, bagi tujuan makan dan minum serta membersihkan sayur-sayuran dia akan membeli air tapis dari sebuah kedai runcit yang terletak kira-kira 5 kilomter dari rumah.

Katanya, setiap kali keluar dia akan membeli air tapis itu sebanyak 10 botol yang setiap darinya berkapasiti 10 liter.

Iklan
Mohd Elmi Ibrahim@Yusoff, 23, menunjukkan anak sungai yang menjadi sumber utama bekalan air penduduk di Kampung Cabang Tiga Gemas, Jalan Sungai Sam-Dabong, Kuala Krai.

Mohd Saudi berkata, sebanyak 20 liter air bersih sehari yang diperlukan oleh keluarganya bagi tujuan makan dan minum termasuklah mencuci makanan.

Katanya, walaupun perit untuk berulang alik serta memerlukan belanja yang banyak setiap bulan namun itu jalan penyelesaian terbaik yang boleh diambil.

"Memburukkan lagi keadaan apabila tibanya musim tengkujuh, kami terpaksa menadah air hujan untuk mandi dan membasuh pakaian.

"Ini berikutan air sungai keruh pada waktu itu," katanya.

Menurutnya, mereka ingin membina telaga tiub tetapi tidak mampu kerana ia melibatkan perbelanjaan yang agak besar kerana tanah di sini berbukit.

Katanya, mereka berharap pihak berkenaan dapat membantu membina sebuah telaga tiub untuk kegunaan penduduk bagi mengatasi masalah tersebut.