'Susah tak mengapa, pendidikan adik lebih utama'

Iklan
Pengurus Besar Pasaraya Econsave Wilayah Utara, Zamzuri Mansor memberi sumbangan kepada keluarga berkenaan di Kampung Tengah, Kuala Kedah pada Rabu.

KUALA KEDAH -"Tak mengapa kalau hidup susah. Kita makan apa yang ada sahaja. Pendidikan adik-adik perlu diutamakan." Itu kata Muhammad Danial Syafiq Zainal Abidin, 23, kepada ibunya, Intan Adriana Jamal, 45, yang mengalas tanggungjawab sebagai ketua keluarga selepas bapanya meninggal dunia pada enam bulan yang lalu.

Intan berkata, anak sulungnya itu juga memahami keadaan dirinya yang tidak mampu bekerja berat selepas pembedahan mengeluarkan ketumbuhan di dalam perutnya pada tahun 2016.

Iklan
Iklan

Selain itu, katanya, dia juga menghidap penyakit darah tinggi dan doktor memintanya untuk menjaga pemakanan agar masalah ketumbuhan dalam perut tidak berulang lagi.

"Anak sulung saya itu faham keadaan ibunya ini. Dia sudah kembali bekerja sebagai pembantu restoran di Alor Setar selepas Kedah diletakkan dI bawah Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dengan gaji RM900 sebulan.

Iklan
Zamzuri (dua dari kiri) memberi sumbangan kepada Intan Adriana (tengah) di Kampung Tengah, Kuala Kedah pada Rabu.

"Semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0, dia diberikan cuti sementara kerana restoran itu hanya menggunakan dua pekerja sahaja," katanya ketika menerima kunjungan Pengurus Besar Pasaraya Econsave Wilayah Utara, Zamzuri Mansor di rumahnya di Kampung Tengah di sini pada Rabu.

Ketika kunjungan itu, keluarga tersebut menerima barangan sumbangan keperluan dapur dan rumah daripada Econsave bernilai RM1,000.

Iklan

Pada 2 Februari lalu, Sinar Harian melaporkan kisah Muhammad Danial Syafiq yang merupakan pembantu tukang masak sanggup mengorbankan cita-citanya untuk mengambil alih tugas sebagai ketua keluarga selepas bapanya meninggal dunia akibat komplikasi pelbagai penyakit.

Laporan Sinar Harian pada 2 Februari 2021.

Menurut Muhammad Danial Syafiq, bapanya yang bekerja sebagai pemandu lori membawa ais meninggal dunia enam bulan lalu selepas terlantar akibat kemalangan jalan raya.

Sementara itu, Intan Adriana berkata, dia memberikan tumpuan penuh membantu empat anaknya yang masih bersekolah semasa belajar dalam talian di rumah sepanjang PKP 2.0.

"Saya memberikan tumpuan kepada dua anak di sekolah rendah pada sebelah pagi sebelum membantu dua anak lagi di sekolah menengah pada waktu tengah hari atau petang.

"Selain menguruskan rumah sepenuh masa, saya juga membantu di kedai makan di Kuala Kedah jika diminta. Jika ada permintaan, boleh juga tampung pendapatan keluarga," katanya.