MB Johor sifatkan calon SPM 2020 hebat, kental

Iklan
Hasni Mohammad (kanan) meluangkan masa melawat calon SPM Tahun 2020 dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sri Tanjung iaitu Nor Farziana di rumahnya Kampung Parit Wahab, Benut, Pontian pada Sabtu.

PONTIAN - Menteri Besar Johor, Datuk Ir Hasni Mohammad menyifatkan calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2020 sebagai hebat dan kental.

Menurutnya, ini kerana mereka masih berdepan situasi pandemik Covid-19 apabila menduduki peperiksaan SPM 2020 yang bermula Isnin ini.

Iklan
Iklan

"Walaupun pandemik menjejaskan sesi pembelajaran sejak awal tahun lalu, namun pelajar semua tetap tabah dan kekal bersemangat," katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Benut.

Beliau berkata demikian semasa bertemu calon SPM dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Benut, Iskandar Iz'aan M Yazid, 18, di rumahnya di Jalan Parit Ismail, Benut di sini pada Sabtu.

Iklan

Hasni kemudian memberi kata-kata semangat kepada calon SPM 2020 yang lain di Kampung Parit Wahab dan Kampung Sanglang, Ayer Baloi.

Sementara itu, Iskandar yang mengambil aliran Tasawwuf Islam dan Pendidikan Seni berkata, kehadiran Hasni menyuntik semangatnya untuk terus memberikan yang terbaik dalam peperiksaan SPM nanti.

Iklan

"Seperti sedia maklum, pandemik Covid-19 yang melanda sedikit sebanyak menjejaskan pembelajaran. Kehadiran Menteri Besar Johor hari ini (Sabtu) membuktikan beliau peka dan mengambil berat pelajar seperti kami yang bakal mengambil SPM dalam keadaan normal baharu," katanya.

Bagi Nor Farziana Najwa Fauzi, 18, dari Kampung Parit Wahab mengakui bertuah berjumpa Hasni apatah lagi datang sendiri ke rumah memberikan motivasi dan dorongan untuk berjaya dalam peperiksaan SPM.

"Saya rasa amat bertuah dan berharap dapat memperoleh keputusan cemerlang pada keputusan SPM nanti," katanya.

Sze Yang pula yang merupakan pelajar dari SMK Benut melahirkan rasa terharu apabila Menteri Besar Johor datang melawat ke rumahnya dan bertemu ahli keluarganya.

"Kata-kata semangat yang diberikan Menteri Besar Johor bakal menjadi pembakar semangat untuk berdepan peperiksaan yang dianggap penting demi masa depan saya," katanya.