SHAH ALAM - Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin digesa merancang sesuatu polisi dengan teliti sebelum membuat sebarang keputusan.
Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, sudah banyak kali Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) membuat keputusan secara sela menyela atau ‘flip flop’ sehingga menyusahkan rakyat.
Katanya, ramai ibu bapa beranggapan proses Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) lebih lama menyebabkan mereka terpaksa bergolak-gadai termasuk berhutang dengan ah long untuk membeli gajet buat pendidikan anak-anak.
"Umumnya bukan rakyat tidak setuju sekolah dibuka. Ya, banyak boleh selesaikan isu dan kekangan yang dihadapi majoriti rakyat yang tiada akses kepada internet yang sempurna, kekangan soal gajet, tablet atau alat peranti jika PdPR hendak diteruskan.
"Rakyat juga keliru dan menerima mesej yang salah apabila dibuat pelancaran DidikTV untuk memperkasa PdPR? Diambil alih saluran NTV7 untuk buat TV pendidikan?
"Ingatlah! Bukan semua rakyat yang senang ketika ini dengan ramai dibuang kerja, hilang punca pendapatan, malah tiada sumper pendapatan tambahan dalam suasana pandemik ketika ini,” katanya menerusi hantaran di Facebook beliau pada Sabtu.
Beliau turut mempersoalkan mengapa sesi persekolahan dibuka tergesa-gesa sedangkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berakhir 1 Mac.
"Dengar kata perkara polisi sebesar ini tidak pun dibincangkan di dalam Kabinet hingga ramai menteri sendiri terkejut dengan pengumuman semalam, betulkah?” soal beliau.
Media pada Jumaat melaporkan, sesi persekolahan bagi sekolah rendah, kolej vokasional dan sekolah antarabangsa serta institusi pendidikan swasta (IPS) kategori pusat yang tidak menawarkan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan peperiksaan umum masing-masing akan dibuka pada 1 dan 8 Mac ini.
Radzi berkata, kumpulan yang akan mula bersekolah pada 1 Mac ini ialah murid prasekolah, Tahun Satu dan Dua di sekolah rendah seluruh negara manakala Tahun Tiga, Empat, Lima dan Enam bermula pada 8 Mac.
Pelajar kolej vokasional bagi Sijil Vokasional Malaysia (SVM) Tahun Satu Semester Dua dan Diploma Vokasional Malaysia Tahun Satu Semester Dua akan hadir ke institusi masing-masing pada 1 Mac ini.
Bagi sekolah swasta pula, ia secara umumnya mengikut jadual sekolah kerajaan sama ada bagi sekolah rendah dan menengah.
ARTIKEL BERKAITAN: Sekolah bermula 1 Mac ini
Sekolah menengah dibuka 4 April
Didik TV akan beri tumpuan kepada pelajar sekolah menengah