BENTONG - Cubaan seorang lelaki membawa keluar daun ketum seberat 400 gram menggunakan lori di Felda Mempaga 2 dekat Lurah Bilut, di sini berjaya digagalkan oleh pihak polis pada Jumaat.
Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Zaiham Mohd Kahar berkata, suspek berusia 29 tahun yang juga warganegara tempatan ditahan oleh pasukan operasi dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bentong bersama anggota dari Balai Polis Lurah Bilut sempena Op Tapis.
Menurutnya, operasi pada kira-kira jam 4 petang itu dilakukan di sebuah ladang kelapa sawit di Felda terbabit.
"Dalam operasi tersebut, sebuah lori dalam keadaan mencurigakan ditemui dan ditahan oleh pasukan operasi.
"Hasil pemeriksaan ke atas lori, pihak polis menemui satu bungkusan plastik warna kuning berisi daun kehijauan dipercayai ketum seberat 400 gram di bahagian belakang kerusi penumpang.
"Pemandu lori kemudiannya ditangkap untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 30(3) Akta Racun 1952," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Jelasnya, jika disabitkan kesalahan boleh dikenakan denda maksimum RM10,000 atau penjara maksimum empat tahun atau kedua-duanya sekali.
Sementara itu Mohd Zaiham memberitahu, tiga lelaki tempatan berusia 27 hingga 56 tahun ditahan hasil pemeriksaan dan serbuan rumah ke rumah di kawasan Taman Mempaga Utama dan Felda Mempaga pada hari sama.
Menurutnya, mereka ditangkap selepas hasil ujian saringan urin didapati positif dadah jenis methamphetamine.
Ujarnya, ketiga-tiga suspek ditangkap di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.