SHAH ALAM - Seramai 401,105 calon mendaftar untuk menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun 2020 yang akan bermula Isnin ini hingga 25 Mac depan.
Lembaga Peperiksaan dalam satu kenyataan berkata, ia akan dijalankan di 3,310 pusat peperiksaan seluruh negara.
"Bagi memastikan kelancaran pengurusan dan pengendalian peperiksaan SPM 2020, seramai 48,014 petugas peperiksaan telah dilantik.
"Lembaga Peperiksaan mengingatkan semua calon agar merujuk jadual waktu peperiksaan untuk mendapatkan maklumat mengenai tarikh, masa, kod dan kertas peperiksaan serta arahan yang perlu dipatuhi semasa peperiksaan berlangsung," kata kenyataan tersebut pada Sabtu.
Menurut kenyataan itu, jadual waktu peperiksaan boleh dimuat turun dari portal rasmi Lembaga Peperiksaan iaitu http://lp.moe.gov.my.
Katanya, calon juga diingatkan supaya membawa dokumen pengenalan diri dan pernyataan pendaftaran peperiksaan ke pusat peperiksaan.
"Calon juga hendaklah mematuhi Garis Panduan Pengurusan Pentaksiran Pusat dan Peperiksaan Awam yang terkandung dalam Garis Panduan Pengurusan dan Pengoperasian Sekolah Dalam Norma Baharu 2.0 dan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan bagi memastikan kelancaran pengurusan peperiksaan serta mencegah penularan wabak Covid-19," katanya.