RM15 juta atasi banjir di Pengerang

Iklan
Ahmad Masrizal (tiga dari kanan) dan Azalina (dua dari kiri) melawat lokasi kerap berlaku banjir di Taman Bayu Damai, Kota Tinggi pada Sabtu.

KOTA TINGGI- Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) akan menyalurkan peruntukkan sebanyak RM15 juta bagi menyediakan sistem pam air di Pengerang khususnya di Kampung Sungai Kapal Lama bagi mengatasi isu banjir yang sering berlaku di kawasan tersebut.

Timbalan Menterinya, Datuk Dr Ahmad Masrizal Muhammad berkata, pam air tersebut merupakan langkah jangka panjang untuk menangani masalah banjir di kampung berkenaan yang terletak di dalam kawasan pembangunan Kompleks Petroleum Bersepadu Pengerang (PIPC).

Iklan
Iklan

Selain itu, katanya, satu jawatankuasa dipengerusikan pegawai daerah dengan pembabitan agensi kerajaan dan bukan kerajaan akan ditubuhkan bagi mencari jalan penyelesaian yang lebih baik.

"Bagi tempoh jangka masa panjang, kementerian bercadang menyediakan pam-pam air supaya air banjir dapat mengalir ke saliran dan seterusnya ke laut.

Iklan

"Banjir yang berlaku sebelum ini adalah disebabkan air banjir tidak dapat mengalir ke saliran yang sepatutnya.

"Hujan lebat berterusan dengan bacaan hujan yang sangat tinggi turut menjadi punca kejadian banjir di sini,” katanya ketika mengadakan lawatan kerja bersama Ahli Parlimen Pengerang, Datuk Seri Azalina Othman Said di Kampung Sungai Kapal Lama dan Taman Bayu Damai di sini pada Sabtu.

Iklan

Ahmad Masrizal berkata, bagi penempatan di luar kawasan PIPC, pam air mudah alih akan disediakan sebagai persediaan sekiranya hujan lebat berterusan sehingga menyebabkan berlakunya banjir.

"Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) juga sentiasa membuat kerja penyelenggaraan secara berkala di sekitar kawasan Kampung Sungai Kapal Lama.

"Langkah ini penting bagi memastikan aliran air sentiasa lancar seterusnya mengelakkan kejadian yang tidak diingini pada masa hadapan,” katanya.

Sementara itu, Azalina berkata, beliau berharap perancangan mengatasi masalah banjir di kawasan PIPC terutama di Kampung Sungai Kapal Lama dapat dilaksanakan secepat mungkin.

"Banjir yang berlaku tahun ini adalah paling teruk dengan melibatkan lebih 500 mangsa di pusat pemindahan sementara (PPS) dengan paras air banjir sehingga mencecah bumbung rumah penduduk.

"Terima kasih kepada kementerian dan jabatan-jabatan yang peka turun melihat keadaan di sini.

"Harap langkah jangka pendek dan jangka panjang untuk menyelesaikan isu banjir di sini dapat dilaksanakan segera,” katanya.