KUALA TERENGGANU – Rasuah boleh dicegah sekiranya masyarakat diterapkan dengan ilmu agama sejak awal dan secara berterusan supaya mereka sedar serta faham keburukan gejala tersebut kepada diri, bangsa dan negara.
Timbalan Pengerusi Majlis Belia Besut, Zahari Mat berkata, dakwah tentang kerosakan yang dibawa akibat aktiviti rasuah tidak boleh bersifat sementara kerana manusia mudah lupa dan alpa sekiranya peringatan berkenaan terhenti.
"Elok sekiranya setiap agensi sama ada kerajaan mahupun swasta melantik seorang tenaga pengajar yang datang memberi ceramah, motivasi dan kesedaran mengenai rasuah kepada kakitangan secara berterusan serta kerap.
"Manusia sifatnya mudah leka dan alpa, jadi peringatan secara berterusan seperti ini boleh menjentik hati mereka sekiranya ada pihak ingin menawarkan rasuah atau dia sendiri mahu memberi rasuah,” katanya kepada Sinar Ahad.
Menurut Zahari, dia percaya indeks rasuah di negara ini boleh menurun apabila orang ramai bekerjasama dengan pihak berkuasa memerangi gelaja tidak bermoral itu.
Beliau berkata, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) selaku agensi yang bertanggungjawab mengendalikan kes rasuah juga berjaya memainkan peranan dengan baik apabila ramai pesalah rasuah dihadapkan ke mahkamah.
"Bagi saya, kerajaan nampak serius dalam soal ini dan SPRM juga tunaikan tanggungjawab dengan baik. Oleh itu sebagai rakyat kita boleh sama-sama menyokong usaha ini dengan membantu menyalurkan maklumat kepada SPRM.
"Tapi harus diingat, maklumat itu perlu dikemukakan bersama bukti kerana tuduhan mengambil atau memberi rasuah bukan benda kecil atau main-main, ia perkara besar melibatkan soal integriti,” katanya.