Mayat pemancing ditemukan terapung

Iklan
Mangsa ditemukan lemas di Sungai Muda pada malam Sabtu.

KEPALA BATAS - Seorang lelaki yang hilang ketika keluar memancing ditemukan lemas di Sungai Muda di sini pada malam Sabtu.

Mayat Md Johari Mat Isa, 40, ditemui sepasukan anggota bomba yang melakukan operasi mencari dan menyelamat mangsa kira-kira jam 8.45 malam.

Iklan
Iklan

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, mayat lelaki berkenaan ditemui terapung tidak jauh tempat dia dilaporkan terjatuh.

"Mayat mangsa telah dibawa ke Hospital Kepala Batas untuk proses bedah siasat," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Ahad.

Iklan

Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan seorang lelaki dikhuatiri lemas selepas dipercayai terjatuh ke dalam sungai ketika memancing seorang diri di Sungai Muda.

Mangsa dari Kampung Ekor Kucing dikatakan telah keluar dari rumahnya pada jam 8 pagi Jumaat dan tidak pulang sehingga Sabtu.

Iklan

Daripada laporan yang dibuat bapa mangsa pada jam 1 petang, isteri mangsa memaklumkan bahawa suaminya keluar dari rumah dengan menunggang motosikal jenis Honda EX5 untuk memancing di sungai berhampiran.

Bapa mangsa bertindak ke sungai tersebut dan mendapati motosikal dan barang peribadi anaknya berada di tebing sungai.