Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan bermula 24 Februari

Iklan
Khairy Jamaluddin pada sidang media selepas menyambut ketibaan kumpulan pertama vaksin Pfizer-BioNTech hari ini. -Foto Bernama

SEPANG - [DIKEMAS KINI] Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan yang dijadualkan bermula 26 Februari ini akan diawalkan kepada 24 Februari.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Noor Hisham Abdullah akan menjadi individu awal menerima vaksin Pfizer-BioNTech itu.

Iklan
Iklan

"Perdana Menteri (Muhyiddin) dan Tan Sri Dr Noor Hisham akan menerima suntikan pertama di Klinik Kesihatan Putrajaya pada 24 Februari ini selepas Mesyuarat Jemaah Menteri," pada sidang media secara maya Ketibaan Bekalan Vaksin Covid-19 Malaysia di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini pada Ahad.

Menurutnya, setakat ini, seramai 271, 802 petugas barisan hadapan telah berdaftar untuk menerima vaksin fasa pertama.

Iklan

Katanya, daripada jumlah itu, lebih separuh atau 57.7 peratus terdiri daripada anggota sektor perubatan dan kesihatan.

"Selebihnya pula terdiri daripada anggota bukan kesihatan seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan sebagainya," katanya.

Iklan

Sementara itu, dalam perkembangan berkaitan, Khairy Jamaluddin turut memaklumkan kerajaan tidak menetapkan tarikh penutupan bagi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan sehingga ia mencapai sasaran.

Malaysia menerima kumpulan pertama vaksin Pfizer-BioNTech apabila penerbangan Malaysia Airlines MH604 dengan menggunakan pesasat Airbus 330-300 yang dikendalikan oleh MABKargo Sdn Bhd (MASKargo) selamat mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) kira-kira jam 10 pagi pada Ahad.

Ketibaan pesawat yang membawa 312,390 dos vaksin dengan penerbangan Passenger-to-Cargo (P2C) itu akan disambut Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba, Khairy Jamaluddin Menteri Pengangkutan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong dan Dr Noor Hisham.

Pada Sabtu, Sinar Harian melaporkan penerbangan yang membawa vaksin itu dijadual berlepas dari Singapura pada jam 9 pagi pada Ahad.

Perjalanan vaksin tersebut dari kilang Pfizer di Belgium telah diuruskan oleh Pfizer dan DHL melalui perjanjian di peringkat global.

Vaksin berkenaan berlepas dari Belgium dan transit di Leipzig Halle Airport, sebelum meneruskan perjalanan ke Singapura untuk pengedaran ke negara-negara Asia Pasifik lain, termasuk Malaysia.

Setibanya di Malaysia, pengedaran vaksin tersebut akan dikendalikan DHL Express, yang juga merupakan ejen yang telah dilantik untuk pengedaran vaksin Pfizer-BioNTech di peringkat global.