KUALA LANGAT - Malang menimpa nasib seorang wanita warga emas apabila disisihkan keluarga sendiri yang bertindak meninggalkannya sendirian dengan keadaan berkerusi roda di tepi jalan di sini pada malam Sabtu.
Lembaga Zakat Selangor (LZS) menerusi satu kenyataan memaklumkan, pihaknya menerima maklumat daripada orang awam berhubung keadaan wanita yang kudung sebelah kaki ditinggalkan dengan bekalan lampin pakai buang serta beg pakaian.
"Skuad Saidina Umar (SSU) Zakat Selangor serta Ketua Operasi Agihan Daerah Kuala Langat bertindak segera turun padang pada jam 8.30 malam tadi (Sabtu) bagi menyantuni wanita yang ditinggalkan seorang diri ini.
"Hasil siasatan mendapati beliau merupakan asnaf fakir dan masih mempunyai keluarga," katanya menerusi kenyataan pada Ahad.
LZS memaklumkan, usaha menghubungi keluarga warga emas tersebut berjaya dilakukan namun tidak mendapat kerjasama yang baik apabila tiada seorang waris sudi menjemputnya kembali ke rumah dengan pelbagai alasan.
Jelasnya, LZS terpaksa menyerahkan warga emas berkenaan untuk tindakan lanjut pihak polis di bawah bidang kuasa pihak berwajib bagi menghubungi anak warga emas terbabit dan menjalankan sesi rundingan mengikut kepakaran pihak berkuasa berkenaan.
Katanya, pada mulanya, anak warga emas tersebut dikatakan bersetuju hadir ke balai polis, namun sekitar jam 3 pagi pada Ahad, individu terbabit dikatakan membuat keputusan tidak boleh menjaga ibunya lagi menyebabkan pihak polis terpaksa hubungi pusat jagaan warga emas yang kemudian datang menaiki ambulans untuk membawanya ke hospital bagi pemeriksaan kesihatan dan saringan Covid-19.
"Hati mana yang tidak tersentuh apabila ibu ini masih mendoakan yang terbaik untuk anaknya.
"Katanya 'dah lama acik tak jumpa anak, anak acik baik orangnya'. Kami cuba menyembunyikan rasa sebak kami kepada beliau. Mungkin ada kisah keluarga yang hanya mereka mengetahuinya," katanya.
LZS memaklumkan, pihaknya menempatkan warga emas itu di pusat jagaan warga emas mengikut prosedur dengan kebenaran anaknya dan semua kos ditanggung oleh agensi tersebut.
"Terima kasih kepada orang awam yang menyampaikan maklumat kepada kami.
"Juga buat pihak Pusat Jagaan Warga Emas Baitul Mawaddah dan Pusat Jagaan warga Emas SRA serta pihak Balai Polis Sri Muda yang bekerjasama dari malam hingga ke awal pagi dalam menguruskan kes ini.
"Marilah sama-sama kita doakan semoga usaha ini mendapat keberkatan dari ALLAH SWT dan ibu ini dapat dijaga dengan penuh kasih sayang," katanya.