PENGENDALI Chelsea, Thomas Tuchel ternyata gusar menjelang pertemuan dengan Altletico Madrid pada saingan 16 pasukan Liga Juara-Juara Eropah pada Rabu ini.
Ia selepas persembahan hambar The Blues ketika menentang Southampton pada perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL) pada Ahad yang berkesudahan seri 1-1.
Menurut Tuchel, beliau mengenal pasti kelemahan ketara Chelsea terutama pada bahagian serangan dan pertahanan pada perlawanan tersebut.
"Kami membuat keputusan yang salah sehingga kita bolos pada babak pertama. Kami menguasai perlawanan, bola dan peluang tetapi gagal diterjemahkan.
"Bagaimanapun jika Chelsea memerlukan penalti untuk menjaringkan gol bermakna kita telah menemui masalahnya.
"Banyak kelemahan perlu diperbetulkan sebelum kita bertemu Atletico Madrid. Mereka sebuah pasukan yang hebat di setiap posisi,” katanya.
Chelsea hampir dimalukan oleh Southampton selepas ketinggalan 1-0 pada babak pertama hasil jaringan Takumi Minamino sebelum menyamakan kedudukan pada minit ke-54 menerusi sepakan penalti Mason Mount.
Biarpun tidak tewas, namun keputusan tersebut menghentikan momentum kemenangan keempat berturut-turut The Blues sebelum ini.
Mengulas lanjut, Tuchel memuji N’Golo Kante dan Mateo Kovacic yang bertindak cemerlang mengemudi bahagian tengah.
"Dalam 20 meter terakhir kami kekurangan kauliti dan itu realitinya. Kami kurang agresif dan ini sesuatu yang kurang menggembirakan.
"Peranan pemain dalam sesebuah pasukan berbeza tetapi persamaan mereka ialah perlu fokus tidak ada kesilapan mudah dilakukan,” katanya.