KOTA BHARU - [DIKEMASKINI] Kerajaan Kelantan pada Ahad memutuskan untuk membenarkan semua operasi premis, restoran dan kedai makan sehingga jam 12 malam berkuat kuasa serta-merta sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).
Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan Kelantan, Dr Izani Husin berkata, perkara itu diluluskan Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob pada Ahad setelah mengambil kira pelbagai pertimbangan berkait keselamatan dan ekonomi rakyat.
Menurutnya, beberapa prosedur operasi standard (SOP) lain yang diselaraskan dengan Majlis Keselamatan Negara (MKN) peringkat Pusat adalah berkait jumlah individu yang dibenarkan berada di meja makan di setiap premis terbabit.
"Pelanggan boleh berada di meja makan mengikut keluasan meja tetapi wajib mematuhi SOP ketat dengan penjarakan fizikal satu meter," katanya kepada pemberita pada Ahad.
Sebelum ini Kelantan membenarkan operasi kedai makan beroperasi sehingga jam 10 malam dan hanya dua orang berada di meja makan.
Selain itu, majlis kenduri juga dibenarkan dihadiri oleh 50 tetamu dewasa tertakluk kepada saiz keluasan kawasan dan empat orang semeja dengan penjarakan fizikal satu meter.
Katanya, permohonan bagi kelulusan polis juga perlu dibuat lima hari sebelum penganjuran majlis selain mewajibkan dikawal oleh anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela).
"Aktiviti sukan dan rekreasi yang tidak bersentuhan fizikal (indoor dan outdoor) dijalankan secara individu tidak melebihi 10 orang pada satu-satu masa turut dibenarkan," katanya.
Dr Izani berkata, tempoh operasi pasar harian dilanjutkan dari jam 6 pagi sehingga 4 petang, manakala pasar tani bermula 6 pagi hingga 2 petang dan pasar borong pada 6 pagi hingga 2 petang kecuali Pasar Borong Wakaf Che Yeh dari 6 petang sehingga 4 pagi.
Dalam masa sama, beliau mengingatkan masyarakat untuk terus mematuhi SOP ditetapkan oleh kerajaan dan bersama-sama memutuskan penularan Covid-19 di negeri itu.