Sah Lion Air bermasalah sebelum berlepas

Iklan
Lion Air
JAKARTA - Laporan awal siasatan nahas pesawat Lion Air JT610 yang terhempas pada 29 Oktober lepas yang dikeluarkan hari ini, mengesahkan bahawa pesawat itu telah mengalami masalah teknikal beberapa hari sebelum berlakunya tragedi yang mengorbankan 189 orang itu.

Komite Nasional Keselamatan Transportasi (KNKT) yang bertanggungjawab menyiasat tragedi itu mengesahkan ia termasuk masalah teknikal yang dialami penerbangan dari Bali ke Jakarta iaitu sehari sebelum nahas itu berlaku.

"Berdasarkan data penyelenggaraan pesawat sejak tanggal 26 Oktober, tercatat masalah atau gangguan teknikal yang tercatat di pesawat itu, masalah yang terjadi itu berkaitan dengan masalah indikator kecepatan dan ketinggian pesawat," kata Ketua Subkomite Investigasi KNKT, Nurcahyo Utomo di sini hari ini.

Bagaimanapun, beliau berkata pasukan teknikal mengesahkan pesawat itu selamat untuk berlepas, selepas menghadapi masalah teknikal pada penerbangan dari Bali ke Jakarta itu.

Pesawat jenis Boeing 737 MAX 8 itu yang membawa 181 penumpang dan lapan anak kapal dilaporkan terputus hubungan sebelum terhempas di perairan Tanjung Karawang, selepas berlepas 6.20 pagi pada 29 Okt lepas dari Lapangan Terbang Soekarno-Hatta.

Pesawat itu sepatutnya tiba di Lapangan Terbang Depati Amir Pangkal Pinang pada 7.10 pagi waktu Indonesia barat (8.10 pagi waktu Malaysia).

"Sehingga penerbitan laporan awal ini, perakam suara kokpit (CVR) masih belum ditemui, usaha mengesan CVR masih diteruskan,” kata Nurcahyo.

Beliau berkata siasatan itu akan melakukan beberapa ujian termasuk ujian pengesan AoA (Angle of Attack) dan latihan simulasi pesawat di simulator kejuruteraan Boeing.

"Siasatan telah menerima data penerbangan QAR (Quick Access recorder) untuk dianalisis. Siasatan juga melibatkan Lembaga Keselamatan Pengangkutan Nasional (NTSB) dari Amerika Syarikat,” katanya. - Bernama