SEPANG - Ia merupakan satu jam yang paling mendebarkan bagi Kapten Hamdan Che Ismail sepanjang tempoh 29 tahun kerjayanya dalam dunia penerbangan ketika mengendalikan pesawat Malaysia Airlines MH604 yang membawa kumpulan pertama vaksin Covid-19 ke Malaysia pada Ahad.
Sepanjang penerbangan dari Singapura itu, Hamdan yang juga Pengarah Operasi Penerbangan Malaysia Airlines perlu memastikan suhu yang bersesuaian dalam pesawat dikekalkan agar tidak menjejaskan keberkesanan vaksin yang dibawa.
Hamdan mengakui berasa sedikit gementar dan takut apabila memikirkan mengenai tugasan hari ini adalah untuk membawa vaksin Covid-19 bagi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan iaitu program vaksinasi terbesar bakal dilaksanakan di negara ini.
"Bila fikir ada vaksin Covid-19 dalam pesawat memang ada terfikir takut ia (vaksin) rosak... Alhamdulillah vaksin telah sampai ke Malaysia,” kata juruterbang itu kepada Bernama selepas mendaratkan pesawat itu serta menambah cuaca sepanjang penerbangannya pada Ahad adalah baik.
Pesawat MH604 yang membawa 312,390 dos vaksin Covid-19 Pfizer-BioNTech itu mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) jam 10.07 pagi dari Singapura.
Penerbangan Passenger-to-Cargo (P2C) itu yang dikendalikan MAB Kargo Sdn Bhd (MASKargo) iaitu cabang kargo syarikat penerbangan nasional Malaysia Airlines Bhd itu menggunakan pesawat Airbus 330-300 yang dihiasi"livery” Jalur Gemilang ketika membawa vaksin Covid-19 untuk Malaysia itu.
Hamdan berkata, beliau bersama lima lagi kru iaitu seorang pembantu juruterbang, dua kru kabin, seorang petugas MAB Kargo Sdn Bhd (MASKargo) serta seorang jurutera berlepas ke Singapura pada jam 6 pagi Ahad dan tiba satu jam kemudian.
Menurutnya, kira-kira dua jam diperlukan untuk proses memindahkan vaksin Covid-19 ke dalam kargo pesawat itu sebelum berlepas kira-kira jam 9 pagi.
"Apabila tiba di KLIA, saya rasa gembira, terharu dan teruja kerana telah berjaya membawa vaksin Covid-19 ke negara ini,” katanya yang turut berkongsi bagaimana kru penerbangan sentiasa memeriksa suhu dalam pesawat kerana vaksin tersebut memerlukan suhu -70 darjah celcius. - Bernama