Peniaga dakwa tertipu lelaki beli makanan kucing guna duit palsu

Iklan
Razwan berkongsi status di Facebooknya berhubung kejadian duit palsu RM100 yang digunakan pelanggan untuk membeli makanan kucing.

KOTA BHARU - Seorang pemilik premis makanan ternakan haiwan di Cherang di sini mendakwa kerugian RM400 akibat empat keping wang kertas RM100 yang digunakan oleh pelanggan untuk membeli makanan kucing adalah palsu.

Peniaga terbabit, Razwan Rahimi, 32, berkata, perkara itu berlaku di kedai borong miliknya di Cherang dalam satu kejadian pada tahun lalu dan tiga pembelian awal tahun ini.

Iklan
Iklan

Katanya, beliau menyedari kedua-dua wang itu palsu apabila gagal memasukkan wang ‘RM100’ tersebut ke dalam akaunnya melalui mesin deposit tunai (CDM) di sebuah bank.

"Kejadian ketiga terjadi di kedai jenis runcit abang saya, Raziman Rahimi, 36, di Kubang Kerian pada minggu lalu.

Iklan

"Terkini pula, pada Jumaat di sebuah lagi cawangan runcit milik Raziman di Kubang Kerian. Semua membeli makanan kucing dengan nilai terakhir RM51,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Ahad.

Mengulas lanjut, Razwan berkata, beliau turut memuat naik status berkait kejadian itu di Facebook agar peniaga lain berwaspada bagi menggelak mereka mengalami kerugian sama.

Iklan

"Dalam berhati-hati dan sentiasa beringat pun masih lagi boleh terkena.

"Saya dalam proses untuk membuat laporan polis,” katanya.

Mengulas lanjut, Razwan berkata, walaupun empat kejadian itu terjadi berasingan namun wang palsu yang diperolehi tersebut didapati mempunyai nombor siri yang serupa iaitu AB3880270.

Katanya, walaupun dapat membezakan duit palsu dan tulen, namun Razwan mengakui terlepas pandang akibat kesibukan berniaga.

"Kalau diikutkan duit palsu dan tulen ini dapat dibezakan, contohnya yang palsu, gambar Yang di-Pertuan Agong samar-samar, nampak corak fotostat dan kertas pula licin.

"Kalau yang tulen, pegang pun dah dapat rasa corak bunga pada duit tapi kalau tengah-tengah 'kalut' berniaga, kita boleh terlepas pandang,” katanya.