MAJLIS Sukan Negara (MSN) yang menyambut ulang tahun ke-50 pada Ahad, digesa untuk menerapkan The Champion’s Mindset (penetapan minda juara) dalam membawa aspirasi sukan negara ke tahap lebih tinggi.
Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, semua warga kerja MSN perlu memiliki penetapan minda itu kerana pembangunan jaguh sukan yang hebat dan dihormati mesti bermula dari institusi tersebut.
"Asasnya mudah, dunia diubah oleh teladan anda, bukan oleh pendapat anda. Jika warga MSN sendiri mempunyai minda seorang jaguh dunia, maka lebih mudah untuk gelombang pemikiran sama dimiliki oleh atlet dan bakal atlet.
"The Champion’s Mindset inilah yang menerasi kecemerlangan kita dalam banyak acara sukan. Memang terlalu banyak searah kejayaan Malaysia dalam bidang sukan yang boleh kita singkap semula,” katanya ketika majlis pelancaran Jubli Emas MSN yang disiarkan secara langsung di Facebook dan YouTube MSN pada Ahad.
Beliau berkata, penetapan minda itu juga menjadi nadi kejayaan wira negara yang memerah keringat dan kudrat untuk mengharumkan nama Malaysia di peringkat tertinggi seperti Tan Sri Dr M Jegathesan, Datuk M Rajamani, Sazali Samad, Datuk Lee Chong Wei, Datuk Nicol David, Ziyad Zulkifli dan Abdul Latif Romly.
Menurutnya, penetapan minda dan kerangka pemikiran sama juga diwarisi jaguh seperti Azizulhasni Awang, Pandalela Rinong, Leong Mun Yee, Nur Dhabitah Sabri dan Lee Zii Jia pada masa sekarang.
"Tahun dan dekad yang akan datang ini, sebenarnya akan menguji daya kesungguhan dan komitmen kita semua. Cabaran sebenar ialah untuk kita melahirkan lebih ramai atlet bertaraf dunia.
"Sementara kita berbangga dengan sejarah, kita sudah perlu mencipta lebih banyak cerita kejayaan dan nama-nama baharu di tinta emas bidang sukan.
"Selaku Menteri Belia dan Sukan di hari ulang tahun ke-50 MSN ini, saya memberi jaminan akan terus memberikan sokongan teguh dan padu untuk kejayaan berterusan MSN bagi tahun dan dekad akan datang,” katanya.
MSN yang ditubuhkan di bawah Akta Majlis Sukan Negara Malaysia 1971 dan Akta Majlis Sukan Negara (pindaan 1979) dilancarkan oleh Perdana Menteri Kedua Tun Abdul Razak Hussein pada 21 Februari 1972.
Sepanjang lima dekad ini, MSN telah menjadi pemangkin dalam pembangunan bakat dan persediaan atlet ke sukan berprestasi tinggi menerusi program seperti Program Jaya 98, Program Gemilang 2001, Road to Rio 2016, Program Kita Juara 2017 dan Road to Tokyo 2020. - Bernama