'Sudah lama tunggu nak jawab soalan SPM'

Iklan
Seramai 151 pelajar SMK Anderson, Ipoh menduduki peperiksaan SPM pada Isnin.

IPOH - Pelajar meluahkan rasa teruja kerana dapat menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang bermula pada Isnin selepas dua kali tertangguh berikutan penularan pandemik Covid-19.

Tinjauan di luar pekarangan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Anderson di sini mendapati seawal jam 7 pagi pelajar telah tiba dan disambut sendiri oleh Pengetua, Wan Shaiful Akmar Mohamad Idris.

Iklan
Iklan

Pelajar, Danial Ierfan Hazmi, 18, berkata, dia lebih bersedia dan yakin untuk menjawab kertas Bahasa Melayu pada hari pertama.

"Rasa gementar itu memang ada sebab sudah lama tunggu nak jawab kertas SPM ini dan pada masa sama, tidak sabar nak selesaikan jawab soalan-soalan.

Iklan

"Keputusan peperiksaan percubaan saya hanya dapat 4A. Diharapkan semua rakan-rakan dapat menjawab semua soalan dengan lebih baik,” katanya di sini pada Isnin.

Seorang lagi calon, S Kumaran, 18, turut berkongsi perasaan sama dan menyifatkan ia adalah hari paling dinantikan semua calon SPM seluruh negara.

Iklan

"Saya yakin kerana saya telah buat persediaan rapi dengan mengulang kaji semua subjek. Perasaan hari ini ada rasa sedikit gementar.

"Bagaimanapun, saya lega apabila peperiksaan ini akhirnya berlangsung. Saya mahu selesaikan segera supaya tidak fikir apa-apa lagi," katanya

Calon SPM di SMK Anderson, Ipoh mengikuti prosedur operasi standard (SOP) dengan mengimbas suhu sebelum memasuki dewan peperiksaan pada Isnin.

Sementara itu, Pengarah Pendidikan Perak, Dr Mohd Suhaimi Mohamed Ali berkata, seramai 33,079 orang calon telah mendaftar untuk menduduki peperiksaan SPM 2020.

"Daripada jumlah itu, seramai 31,676 orang merupakan calon sekolah dan 1,403 orang mendaftar sebagai calon persendirian.

"Bagi melicinkan perjalanan peperiksaan, pihak jabatan telah melantik seramai 2,930 petugas dalam kalangan warga Kementerian Pendidikan untuk melaksanakan tanggungjawab tersebut,” katanya.

Beliau bagaimanapun berkata, calon yang didapati positif Covid-19 dan calon yang dikuarantin tidak dibenarkan menduduki peperiksaan.

SPM 2020 asalnya dijadualkan pada 5 Oktober sehingga 19 November sebelum ditunda ke 16 November hingga 7 Disember dan kemudian ke tarikh 22 Februari 2021.