Intai anak dari luar pagar sekolah

Iklan
Mastura meninjau anaknya yang menduduki SPM melalui pintu pagar Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Dato' Haji Abbas, Kuala Nerus pada Isnin.

KUALA NERUS - Seorang ibu sanggup menunggu di pintu pagar sekolah seawal jam 7 pagi semata-mata mahu menatap wajah anaknya yang menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada pagi Isnin.

Walaupun sedar tidak dapat berjumpa, namun Mastura Mohamed, 51, dari Bukit Payong, Marang tetap hadir ke Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Dato' Haji Abbas bagi memberi sokongan.

Iklan
Iklan

Mastura yang bekerja sebagai Pembantu Tadbir berkata, sudah sebulan dia tidak bertemu Adib Alauddin Kamaruzzaman kerana anak kedua itu tinggal di asrama dan prosedur operasi standard (SOP) tidak membenarkan lawatan bagi mengekang Covid-19.

Mastura Mohamed

"Cuma malam tadi dia pinjam telefon kawan dan hubungi saya mohon restu untuk periksa pagi ini. Dapatlah bercakap dengan dia walau sekejap.

Iklan

"Pagi ini saya ambil kesempatan datang ke sekolah dengan harapan dapat lihat dia walau dari jauh. Tapi hampa kerana dia sudah memasuki dewan peperiksaan.

"Saya doakan dia dapat jawab soalan dengan tenang, dipermudahkan segala urusan dan saya halalkan segalanya buat dia," katanya sebak ketika ditemui media di pintu utama SMK Dato' Haji Abbas di sini pada pagi Isnin.

Iklan

Menurut Mastura, sebelum ini Adib Alauddin pernah dikuarantin kerana mempunyai kontak rapat dengan pesakit Covid-19 namun bersyukur apabila keputusan ujian calitan anaknya negatif.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu, Salim Abd Ghani berkata, seramai 18,743 pelajar Tingkatan Lima tahun 2020 di seluruh negeri ini mula menduduki peperiksaan SPM bermula Isnin hingga 25 Mac nanti.

Salim Abd Ghani

Beliau berkata, sebanyak 169 pusat pemeriksaan dibuka di seluruh Terengganu melibatkan seramai 1,427 petugas.

"Semua calon, petugas dan pusat peperiksaan dilihat mematuhi SOP ditetapkan oleh pihak berkuasa dengan baik dan saya minta ibu bapa yang mana anaknya tinggal di rumah dapat jaga SOP bagi menjamin kesihatan," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN 401,105 calon duduki peperiksaan SPM dalam norma baharu