Ekzos bising boleh dikenakan denda, penjara

Iklan
Pemilik motosikal yang menggunakan ekzos bising boleh dikenakan tindakan denda tidak lebih RM2,000 atau penjara tidak lebih enam bulan. Gambar kecil: Azisman

KUALA LUMPUR - Pemilik motosikal yang mengubah suai kenderaan menggunakan ekzos bising boleh dikenakan denda tidak melebihi RM2,000 atau penjara tidak melebihi enam bulan.

Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Azisman Alias berkata, di bawah Kaedah 103 Kaedah-Kaedah Kenderaan Bermotor (Pembinaan dan Penggunaan) 1959 (LN 170/1959) setiap ekzos (penyenyap) yang dipasang pada kenderaan bermotor hendaklah pada setiap masa diselenggarakan supaya berada dalam keadaan baik.

Iklan
Iklan

Menurutnya, ia juga perlu dipastikan tidak diubah suai sehingga menyebabkan bunyi bising.

"Mana-mana orang yang membuat pengubahsuaian sedemikian adalah melakukan satu kesalahan dan jika disabit kesalahan boleh dihukum dengan denda tidak melebihi RM2,000 atau penjara selama tempoh tidak lebih enam bulan penjara," katanya dalam satu kenyataan kepada Sinar Harian pada Isnin.

Iklan

Selain itu, Azisman berkata, di bawah peruntukan Seksyen 64 Akta Pengangkutan Jalan 1987, polis diberikan kuasa untuk menyita motosikal tersebut dengan tujuan untuk mengelakkan daripada berlakunya lagi kesalahan tersebut.

Jelasnya, pihak polis boleh menahan motosikal tersebut sehingga pemilik motosikal mengambil langkah-langkah bagi menjamin kesalahan tersebut tidak berulang lagi.

Iklan

Katanya, beliau percaya penggunaan ekzos bising ini menjadi trend semasa golongan muda kerana dikatakan dapat meningkatkan kelajuan motosikal dan juga mencantikkan fizikal motosikal tersebut.

"Pihak JSPT sentiasa mengadakan Operasi Bersepadu dengan jabatan dan agensi yang lain termasuk Jabatan Alam Sekitar (JAS).

"Dalam operasi itu, motosikal akan diukur paras bunyi ekzos yang dibenarkan. Sekiranya paras bunyi melebihi daripada yang ditetapkan, JAS akan mengeluarkan kompaun saman ke atas pemilik motosikal," katanya.

Justeru, pihaknya mengingtkan semua pemilik kenderaan bukan sahaja pemilik motosikal tetapi juga pemilik kenderaan bermotor yang lain agar mematuhi undang-undang dan peraturan jalan raya yang melibatkan pengubahsuaian kenderaan bermotor.

"Sebarang pengubahsuaian yang ingin dilakukan hendaklah mendapatkan kelulusan daripada pihak Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ)," katanya.