Airbus sahkan penyertaan dalam tender pesawat Maritim

Iklan
Pengeluar pesawat, Airbus SE mengesahkan penyertaannya dalam tender pesawat peronda maritim (MPA) Malaysia dengan menawarkan C295MPA.

KUALA LUMPUR - Pengeluar pesawat, Airbus SE pada Isnin mengesahkan penyertaannya dalam tender pesawat peronda maritim (MPA) Malaysia dengan menawarkan C295MPA, pesawat udara taktikal generasi baharu dalam segmen ringan dan sederhana untuk bidaan.

Dalam menyatakan keyakinannya, Ketua Pertahanan dan Angkasa Airbus, Asia Tenggara Johan Pelissier berkata, C295MPA adalah pilihan yang tepat untuk keperluan Malaysia mewakili gabungan nilai dan keupayaan yang terbaik.

Iklan
Iklan

Beliau berkata, model itu adalah satu-satunya MPA dalam kategorinya yang berada dalam perkhidmatan ketika ini.

"C295MPA adalah program pesawat yang terbukti dan rujukan global dalam pengawasan maritim yang menawarkan risiko terendah, namun pemerolehan, operasi dan kos kitaran hayat yang terbaik dalam kategorinya, yang paling sesuai untuk Malaysia,” katanya pada taklimat media secara maya mengenai prospek Airbus untuk pertahanan dan angkasa di Malaysia di sini pada Isnin.

Iklan

Turut hadir, Ketua Negara Airbus Malaysia, Raymond Lim.

Menurut Pelissier, Brazil, Kanada, Chile, Oman dan Portugal telah menggunakan C295MPA dengan jayanya.

Iklan

C295 menjalankan pelbagai operasi di seluruh dunia dalam semua keadaan cuaca. Ia telah diperakui sepenuhnya dan beroperasi secara rutin siang dan malam dalam misi pertempuran dalam semua keadaan cuaca yang melampau, dari padang pasir hingga persekitaran maritim, daripada suhu yang amat panas hingga amat sejuk.

Faktor penting kepada keupayaan meronda dan pengawasan C295 yang unik ialah sistem taktikal bersepadu sepenuhnya (FITS), yang menyepadukan, mengawal dan memaparkan sensor misi -- meningkatkan kesedaran misi dan memudahkan untuk membuat keputusan.

Pada Ogos lepas, Kementerian Pertahanan telah mengeluarkan notis tender mencari dua MPA untuk Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) sejajar dengan Pelan Pembangunan Keupayaan TUDM 2055 (CAP55).

Taklimat dalam talian telah dijalankan pada 1 Oktober 2020 melibatkan pihak berkuasa dan syarikat antarabangsa yang berminat dengan tender tersebut.

Selain MPA Airbus, pesawat lain yang berpotensi termasuklah Leonardo ATR-72MPA, Boeing P-8A Poseidon, Kawasaki P-1 dan PTDI CN-235MPA. - Bernama