KOTA BHARU - [DIKEMASKINI] Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) menerima pelbagai jenis zakat berjumlah RM202,654,986 sepanjang 2020.
Yang Dipertuanya, Tengku Tan Sri Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz berkata, sebanyak RM185,584,088 diagihkan pada tahun lalu menerusi lebih 30 bentuk program agihan sekali gus memberi manfaat kepada asnaf yang layak.
Menurutnya, Perbelanjaan Program Asnaf Fakir dan Miskin mencatatkan pecahan terbesar yang mana sejumlah RM111,185,101 diagihkan tahun 2020.
"Antara program dilaksanakan termasuklah Bantuan Bulanan Fakir dan Miskin berjumlah RM41,289,100 dengan pelaksanaan dua skim bantuan iaitu bantuan tunai RM400 sebulan kepada 6,978 orang serta RM200 sebulan untuk 925 penerima.
"MAIK mengucapkan terima kasih kepada semua pembayar zakat dan sentiasa memberi kepercayaan kepada MAIK untuk mengagihkannya kepada kumpulan yang layak," katanya pada sidang akhbar Laporan Khas Terimaan dan Perbelanjaan MAIK Tahun 2020 di Kompleks Islam Jubli Perak Sultan Ismail Petra pada Isnin.
Hadir sama Timbalan Yang Dipertua MAIK, Zulkifle Ab Rahman serta Exco Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta Kelantan, Datuk Mohd Nassuruddin Daud.
Tengku Mohamad Rizam juga berkata, MAIK akan menambah lima lagi kaunter Baitulmal di masjid-masjid bandar bagi memudahkan pembayaran zakat dan agihan kepada asnaf yang layak.
Tambah beliau, sejak dilancarkan Mei tahun lalu kaunter Baitulmal telah diwujudkan di Pasir Puteh, Tanah Merah, Jeli, Kuala Krai dan Machang.
Dalam pada itu di majlis berkenaan, Tengku Mohamad Rizam menyampaikan Sumbangan Pengurusan yang merupakan bantuan tahunan sebanyak RM2.5 juta kepada Yayasan Islam Kelantan dan Kolej Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra bernilai RM200,000.
Beliau turut menyempurnakan Pengurniaan Sumbangan Kepada Ketua Isi Rumah yang terjejas akibat runtuhan tebing bernilai RM50,000 diwakili Ketua Jajahan Pasir Mas, Nik Mohamed Noor Nik Ishak.