Pengendali Manchester City, Pep Guardiola menghamburkan pujian kepada anak buahnya ketika beraksi menewaskan Arsenal 1-0 awal pagi Isnin.
Menurut Guardiola, pemainnya mencipta banyak peluang untuk menjaringkan gol tetapi satu jaringan daripada Raheem Sterling sudah memadai buat mereka.
"Pasukan lawan cukup agresif menekan setiap pemain. Mereka juga bergerak sangat baik dari sisi. Saya akui ia agak sukar buat kami.
"Bagaimanapun jaringan awal itu berjaya membuatkan kami mampu mengawal perlawanan selain memastikan gerakan lawan dapat dipatahkan.
"Pada awal babak pertama Arsenal bermain dengan baik tetapi selepas 15 minit perlawanan mereka semakin baik sehinggakan kami terpaksa mencari jalan lebih berkesan dalam tekanan yang diterima.
" Pengurus Arsenal, Mikel Arteta cukup faham dengan corak permainan kami dan itu telah menyukarkan. Bagaimanapun para pemain tetap tenang dan memberikan tentangan baik,” katanya.
Dengan kemenangan tersebut The Citizens kini mengumpul 59 mata, 10 mata di depan pencabar mereka Machester United.
Selain itu City terus mengekalkan rekod tanpa kalah 18 perlawanan berturut-turut dalam semua pertandingan.
Dalam pada itu, Guardiola menyatakan bahawa mereka bakal diuji dengan jadual yang agak padat iaitu bertemu Borussia Monchengladbach bagi saingan Liga Juara-Juara Eropah pada Khamis dan menentang West Ham pada Sabtu ini.
"Sebab itu saya katakan tidak semua permainan kita perlu menang dengan margin yang besar. Ada masanya kemenangan 1-0 itu sudah cukup bagus.
"Kami melihat ke depan dengan jadual padat dan memastikan setiap pemain berada dalam keadaan cergas dan bebas daripada kecederaan,” katanya.