KEPALA BATAS - Sepasang suami isteri merasa lega selepas berjaya menunaikan hasrat anak mereka antaranya menaiki kenderaan polis sebelum kanak-kanak itu meninggal dunia pada Ahad akibat kanser leukimia tahap empat.
Nur Syazwani Mazlan, 30, dan Mohammad Azuan Abdul Mutalib, 33, sedaya-upaya menunaikan impian Mohamad Ammar Dhani Mohd Azuan, 6, yang begitu meminati pasukan beruniform Polis Diraja Malaysia (PDRM).
"Arwah Mohamad Ammar minat sangat dengan polis. Jadi, saya dan suami cuba buat sehabis baik untuk menunaikan hasrat dia antaranya menaiki kenderaan MPV polis.
"Dia menyuarakan hasrat nak naik kereta polis. Syukur impiannya tercapai sebelum dia meninggal dunia," luah Nur Syazwani Mazlan memulakan bicara mengenai anaknya itu.
Mohamad Ammar sempat mengecap kenangan manis setelah kanak-kanak itu berpeluang menaiki MPV terbaharu jenis Honda Civic dengan ditemani sendiri oleh Ketua Polis Daerah SPU, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor dalam satu majlis khas yang diadakan untuknya pada bulan lalu.
Menurut Nur Syazwani, selepas program itu Mohamad Ammar selalu dikunjungi anggota polis yang mengambil berat mengenai dirinya bahkan ada yang membawa hadiah barang permainan bertemakan polis," ujar wanita itu ketika ditemui pada petang Isnin.
Tambahnya, untuk menambah keceriaan Mohamad Ammar, beliau meminta ibu saudaranya menjahit uniform polis untuk kanak-kanak tersebut.
"Walaupun sedang tenat, dia tetap menunjukkan reaksi teruja apabila melihat uniform polis yang ditunjukkan kepadanya namun sayang, dia tidak sempat memakainya.
"Walaupun Mohammad Ammar tidak sempat menyarungkan uniform tersebut namun kami tetap gembira kerana dapat memenuhi hajatnya. Kini uniform, permainan polis, gambar serta video arwah menjadi pengubat rindu kami kepadanya," katanya.
Menurut Nur Syazwai, anaknya itu mempunyai banyak koleksi permainan seperti kenderaan polis selain suka menonton video di Youtube yang memaparkan cerita berkisar kepolisan.
Sementara itu, suaminya, Mohammad Azuan berkata, beliau dan isterinya sangat berterima kasih kepada pihak polis yang menunaikan impian anak sulungnya itu pada 22 Januari lalu.
"Terima kasih kepada semua khususnya polis yang menunaikan impian arwah anak kami," katanya.
Terdahulu Sinar Harian melaporkan Mohamad Ammar meninggal dunia kira-kira jam 6 petang pada Ahad selepas menghidap kanser leukemia pada tahap empat.
Jenazah Allahyarham Mohamad Ammar dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Bakar Kapor jam pada Isnin.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor bersama anggotanya turut hadir menziarahi dan memberi penghormatan terakhir kepada kanak-kanak tersebut.
ARTIKEL BERKAITAN: Mohamad Ammar Dhani sudah tiada
Impian kanak-kanak hidap leukemia naik kereta polis tercapai