PH gesa kerajaan sedia pakej rangsangan tambahan RM45 bilion

Iklan
Dari kiri, Anwar, Mohamad dan Guan Eng

SHAH ALAM - Pakej rangsangan tambahan sebanyak RM45 bilion diperlukan iaitu tambahan kepada RM15 bilion yang diumum kerajaan pada awal tahun ini bagi membantu rakyat dan aktiviti perniagaan.

Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) dalam satu kenyataan bersama berkata, dari segi ekonomi, penguncupan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) 5.6 peratus adalah lebih buruk daripada yang dijangkakan dalam Belanjawan 2021 iaitu 4.5 peratus.

Iklan
Iklan

"Ada keperluan segera untuk menyelamat, membina semula dan mereformasikan ekonomi, lebih daripada usaha yang sedang dilakukan ini yang amat tidak mencukupi.

"Rakyat perlu dibantu dan pakej rangsangan tambahan sebanyak RM45 bilion diperlukan, iaitu tambahan kepada RM15 bilion yang telah diumumkan awal tahun ini.

"Kami masih menunggu Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk mengotakan janji bantuan kebajikan bulanan RM1,000 yang perlu dipanjangkan kepada golongan yang menganggur," kata kenyataan bersama Majlis Presiden PH pada Isnin.

Iklan

Kenyataan bersama itu membabitkan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim; Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng.

Kenyataan bersama itu dikeluarkan selepas mesyuarat Majlis Presiden PH bagi membincangkan situasi semasa Covid-19.

Iklan

Majlis Presiden PH berkata, secara dasar, satu-satunya cara untuk menyelamatkan ekonomi ialah dengan membendung pandemik Covid-19.

Menurut mereka, kerajaan Perikatan Nasional (PN) perlu segera meningkatkan perbelanjaan untuk ujian Covid-19,rawatan dan pengesanan kontak serta pelaksanaan pemberian vaksin.

"Kita masih melaksanakan antara 50,000 ke 70,000 ujian sehari, dengan kadar positif sekitar enam peratus. Jumlah ujian saringan perlu ditingkatkan lima kali ganda jika kita benar-benar mahu membendung pandemik ini.

"Untuk mengendalikan ujian pada jumlah ini untuk tiga bulan akan menelan belanja dalam RM2 bilion iaitu satu jumlah yang kecil jika dibandingkan dengan pakej rangsangan ekonomi terkini, tetapi mampu meninggalkan kesan lebih mendalam," kata mereka lagi.

Pada masa ini, mereka mengatakan banyak syarikat termasuk sektor pengilangan teragak-agak untuk melakukan ujian saringan Covid-19 kerana kosnya yang amat membebankan.

Majlis Presiden PH menggesa kerajaan dapat memberikan subsidi ujian dan mereka juga meminta kerajaan untuk meningkatkan subsidi gaji.

"Syarikat-syarikat yang beroperasi di bawah keadaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) selama setahun rata-rata telah kehabisan simpanan.

"Kita bakal berdepan gelombang kemuflisan dalam bulan-bulan yang akan datang jika sokongan yang diperlukan tidak diberi.

"Setidak-tidaknya moratorium pinjaman bank perlu dipanjangkan secara automatik dan tanpa syarat, mengurangkan beban kos tetap seperti sewaan dan bayaran utiliti dengan pemberian subsidi, pinjaman kredit dan geran.

"Kelangsungan syarikat-syarikat ini dan ekonomi negara kita bergantung kepada bantuan-bantuan yang perlu diberi ini," kata mereka lagi.

Pemimpin PH juga menggesa penggantungan Parlimen ditamatkan agar badan perundangan dapat memainkan peranannya dalam melaksanakan reformasi.

Dalam pada itu, Majlis Presiden PH turut menyarankan kerajaan menghentikan dasarnya dalam membuat pengumuman tergempar secara mengejut.

Ini setelah Kementerian Pendidikan mengumumkan bahawa sekolah akan dibuka semula mulai 1 Mac yang menurut mereka ia merupakan perubahan mengejut.

Ibu bapa kini dikatakan menghadapi tekanan membeli peralatan persekolahan untuk anak-anak mereka.

"Dasar membuat pengumuman tergempar seperti ini wajib diberhentikan dan kerajaan perlu menyatakan perancangan menyelamatkan anak-anak ini yang disebut ‘generasi yang hilang’," kata mereka.

Sesi persekolahan beralih kepada pembelajaran dalam talian setelah negara berada di bawah PKP pada 13 Januari mendorong orang ramai mendapatkan peralatan dan peranti dalam talian yang merupakan cabaran besar khususnya bagi keluarga miskin.