SHAH ALAM - UMNO dilihat lemah dan dibuli rakan kongsi dalam Perikatan Nasional (PN) termasuk Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) kerana segelintir pemimpin UMNO termasuk Presidennya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi terkait kes mahkamah.
Ketua UMNO Bahagian Paya Besar, Datuk Ahmad Tajuddin Sulaiman berkata, kes mahkamah dihadapi Ahmad Zahid dan beberapa pemimpin UMNO lain menyebabkan parti itu kadang-kala dilihat sering bertukar pendirian dan mudah diperkotak-katikkan pesaing politik seperti Bersatu dan Pas.
"Kesannya dilihat sebagai tidak berpendirian dan mudah dipergunakan oleh parti-parti saingan politik sama ada Bersatu, Pas dan lain-lain," katanya ketika dihubungi pada Isnin.
Susulan mesyuarat MKT UMNO diadakan di Janda Baik, Pahang pada Jumaat, terdapat beberapa sumber parti itu mendakwa badan tertinggi UMNO sudah membuat ketetapan untuk menolak kerjasama dengan Bersatu dan PN pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Sinar Harian turut difahamkan bahawa Ahmad Zahid telah menggunakan kuasa prerogatif sebagai Presiden UMNO untuk menolak tawaran jawatan Timbalan Perdana Menteri oleh kerajaan PN bagi mengelakkan berlaku pertembungan tiga penjuru.
Bagaimanapun, Jabatan Komunikasi Strategik (JKS) Penerangan UMNO menafikan laporan berita berkenaan dan memandang serius dakwaan itu.
Menurut JKS, laporan yang dibuat media mengenai penolakan kerjasama itu tidak betul dan ibu pejabat UMNO memandang serius dakwaan berkenaan.
Sementara itu, Ahmad Tajuddin turut berpandangan sudah tiba masa untuk Ahmad Zahid menjelaskan hala tuju UMNO dalam menghadapi PRU15.
"Ahmad Zahid perlu menerangkan hala tuju UMNO yang sebenarnya.
"Ahmad Zahid perlu membuat keputusan muktamad sama ada BN akan terus bergerak ke hadapan secara bersendirian atau sebaliknya," katanya.
Katanya lagi, Ahli Parlimen Bagan Datuk itu juga perlu menerangkan objektif sebenar pembentukan UMNO pada tahun 1946 sama ada ia demi kuasa atau permulaan penyatuan kaum Melayu.
"Apakah pembentukan UMNO pada tahun 1946 hanya merupakan pertubuhan untuk mendapatkan kuasa? Atau ia hanya permulaan kepada satu pembangunan tamadun Melayu, penerusan daripada apa yang telah dimulakan oleh Raja-raja Melayu dan pimpinan Melayu sebelum dan semasa zaman penjajah?
"Saya fikir Ahmad Zahid kena jelaskan kepada lebih tiga juta ahli UMNO," katanya.