KUALA LUMPUR - Kata-kata ‘jumpa anda di mahkamah’ atau ‘see you in court’ tidak sepatutnya menjadi budaya rakyat Malaysia dalam merungkai sebarang perselisihan faham, sebaliknya perbincangan di luar mahkamah lebih digalakkan dalam merungkai apa-apa perbalahan.
Penyandang Kursi Institut Raja-Raja Melayu Universiti Teknologi Mara (UiTM), Profesor Datuk Dr Shamrahayu Ab Aziz berkata, dalam satu masyarakat yang maju seperti di Jepun, mereka dikatakan kurang pergi ke mahkamah untuk menyelesaikan sesuatu konflik, sebaliknya memilih untuk menyelesaikan sebarang pertikaian di luar mahkamah.
"Dari segi amalan kita sekarang pun, kita tidaklah menggalakkan orang pergi ke mahkamah. Contoh di mahkamah ada mediation atau arbitration macam penyelesaian di luar mahkamah, itu lebih baik.
"Kita jangan mengharap undang-undang sahaja. Saya percaya undang-undang adalah ‘ikhtiar terakhir’, sebenarnya hubungan kemanusiaan itu (lebih penting),” katanya dalam program Darah Muda terbitan Bernama TV dengan topik ‘Bebas Bersuara’ pada Isnin .
Dalam pada itu, Shamrahayu yang juga pakar perlembagaan berkata dalam hal-hal berkaitan agama dan perbezaan etnik, dialog peradaban adalah medium yang paling sesuai kerana ia berlandaskan fakta dan ilmu, dan bukan menggunakan sentimen, perasaan atau emosi semata-mata.
Jelasnya, perbincangan akademik mengenai perbezaan agama dan etnik adalah digalakkan bagi membentuk sebuah tamadun yang kukuh.
"Kita boleh bercakap mengenai perkara sensitif itu, tetapi bahasa yang kita gunakan itu hendaklah menghormati orang lain.
"Dialog itu mestilah berdasarkan perkara yang mendekati isu itu dengan pendekatan yang lebih intelektual serta akademik, dan kita tidak boleh jadi emosi sangat,” katanya. - Bernama