BN gariskan lima dasar dorong kestabilan, keharmonian negara

Iklan
ASYRAF WAJDI DUSUKI

SHAH ALAM - Barisan Nasional (BN) menggariskan lima dasar bagi mengutamakan kesejahteraan rakyat serta menjadi pendorong kepada kestabilan dan keharmonian negara.

Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, dasar pertama ialah menggalakkan pelaburan domestik dan luar negara melalui syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) bagi menjana kekayaan untuk diagihkan kepada rakyat.

Iklan
Iklan

Menurutnya, ia merupakan faktor Bursa Saham mencatatkan keuntungan tinggi semasa pemerintahan BN yang menyaksikan syarikat-syarikat berkembang dan dividen tabung simpanan rakyat meningkat.

"Dasar kedua pula menfokuskan pertumbuhan dengan membangunkan infrastruktur rakyat seperti pembinaan Lebuhraya Pan Borneo, ECRL, HSR, MRT1 dan MRT2. Ini ternyata memberi kesan gandaan kepada perusahaan kecil dan sederhana mencipta peluang pekerjaan baharu sekali gus menurunkan kadar pengangguran rakyat,” katanya dalam hantaran di Facebook pada Isnin.

Iklan

Menurut Asyraf, hubungan baik dengan pelbagai kuasa ekonomi dunia yang seimbang dan progresif seperti Amerika Syarikat, China, Jepun, India, Arab Saudi dan Eropah telah memberikan pelbagai kerjasama pelaburan yang menguntungkan negara.

"Contohnya, Raja Arab Saudi yang mengumumkan Projek RAPID di Pengerang sebanyak RM31 bilion di samping kerjasama lain, Presiden China lawati Malaysia dan menjadi rakan perdagangan keempat terbesar Malaysia.

Iklan

"Selain itu, komoditi utama negara seperti minyak sawit dapat dipasarkan ke pasaran utama. Malaysia dihormati antara peneraju negara serantau ASEAN dalam banyak aspek termasuk kestabilan dan demokrasi,” ujarnya.

Pada masa sama, Asyraf memaklumkan, dasar percukaian yang progresif bagi memastikan keadilan dalam sistem percukaian seiring dengan inisiatif keseluruhan negara di dunia juga dilaksanakan.

Katanya, selain dapat mengatasi kelompongan dalam ekonomi (Black Economy) akibat kegagalan tidak bayar cukai di kalangan peniaga kaya, Prinsip Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) yang dilakukan juga bertepatan.

"Malah kebergantungan kepada hasil minyak Petronas dapat dikurangkan. BN juga memperkenalkan mekanisme mengagihkan lebihan hasil GST kepada golongan B40 melalui BR1M (Bantuan Rakyat 1 Malaysia) serta bantuan lain,” katanya.

Dalam pada itu, dasar membela semua kaum tanpa menghilangkan sebarang sifat keindukan bangsa dan agama teras ternyata menjadi asas kepada kestabilan dan keharmonian negara.

Katanya, perkara tersebut dibuktikan dengan pengenalan klasifikasi T20, M40 dan B40 bagi mentransformasi bantuan dan agihan berdasarkan keperluan dan tidak berasaskan kaum semata-mata.

"Asas kestabilan dan keharmonian inilah yang merangsang pertumbuhan dan menggalakkan pelaburan domestik dan dari luar negara kerana wujudnya konsistensi, keyakinan dan kepercayaan yang menjadi pra-syarat utama sesuatu keputusan untuk melabur atau tidak dalam sesebuah negara,” katanya.