KUALA LUMPUR - Mahkamah Tinggi pada Isnin menetapkan 22 Mac untuk pengurusan kes bagi rayuan pihak pendakwaan terhadap pembebasan peguam dan aktivis, Siti Kasim daripada pertuduhan menghalang tugas seorang pegawai Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) dalam satu acara di sebuah hotel kira-kira lima tahun lalu.
Timbalan Pendakwa Raya, Izalina Abdullah memaklumkan perkara itu kepada pemberita selepas pengurusan kes dalam kamar Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah Tinggi, Farah Azura Mohd Saad.
"Pihak pendakwaan memaklumkan kepada mahkamah bahawa rekod rayuan masih belum lengkap dan memohon tarikh pengurusan kes selanjutnya,” katanya yang turut memaklumkan bahawa peguam bagi pihak responden iaitu Siti Kasim tidak hadir prosiding pada Isnin. - Bernama