Harbour City Melaka dibuka suku pertama 2020

Iklan
Harbour City Melaka

MELAKA TENGAH - Projek pembangunan bercampur, Harbour City di Pulau Melaka di sini yang bernilai RM1.2 bilion dijangka dibuka secara berperingkat bermula suku pertama 2020.

Pengarah Urusan Hatten Group, Datuk Colin Tan berkata, setakat ini 14 daripada 26 tingkat bangunan berbentuk bahtera itu berjaya disiapkan dengan proses pembinaannya dilaksanakan mengikut jadual.

Iklan
Iklan

"Pembinaan melibatkan pusat beli-belah dan taman tema Splash World itu dijangka siap sepenuhnya pada suku pertama 2020 manakala tiga blok hotel pula dibuka pada akhir 2020.

"Daripada jumlah pelaburan itu, RM200 juta melibatkan pembinaan taman tema Splash World di tingkat 14 bangunan Harbour City," katanya.

Iklan

Beliau berkata demikian selepas menyaksikan persembahan kebudayaan tradisional China Zhangzhou yang turut dihadiri Ahli Parlimen Kota Melaka, Khoo Poay Tiong di sini, baru-baru ini.

Menurutnya, projek Harbour City dijangka memberi manfaat besar kepada kemajuan Melaka dalam pelbagai sektor terutama pelancongan dan ekonomi.

Iklan

"Destinasi pelancongan sehenti ini dijangka memanjangkan tempoh purata pelancong ke Melaka daripada satu hari hingga satu setengah hari kepada dua setengah hari hingga tiga hari.

"Selain itu, purata perbelanjaan pengunjung atau pelancong sehari juga dijangka dapat ditingkatkan dengan pelbagai tawaran menarik di Harbour City terutama taman tema Splash World,” katanya.

Colin berkata, pembinaan tiga blok hotel dengan 1,500 unit bilik itu akan menyediakan pilihan penginapan yang lebih baik dan selesa kepada pengunjung.

"Projek ini turut menyediakan lebih 1,000 peluang pekerjaan dalam bidang perniagaan dan perhotelan terutama kepada warga tempatan," katanya. - Bernama