Somalia tiada Presiden yang diiktiraf

Iklan
Bunyi tembakan kedengaran di Mogadishu pada pagi Jumaat lalu yang berlaku disebabkan krisis perlembagaan di Somalia. - Foto AFP

MOGADISHU - Ibu negara Somalia, Mogadishu digegarkan dengan bunyi tembakan pada Jumaat lalu apabila pihak parti pembangkang cuba untuk berarak di jalanan bagi menentang penangguhan pilihan raya umum di negara tersebut.

Tembakan senjata api dan mortar dilaporkan kedengaran waktu pagi walaupun kerajaan di negara tersebut melaksanakan perintah 'lockdown' sebagai usaha membendung penularan pandemik Covid-19.

Iklan
Iklan

Ketidaktenteraman itu berlaku disebabkan kegagalan untuk mengadakan satu pilihan raya seperti yang telah ditetapkan sebelum ini iaitu pada 8 Februari lalu dengan Presiden Somalia, Mohamed Abdullahi Mohamed dijadualkan meletakkan jawatan terlebih dahulu.

Bagaimanapun, Mohamed Abdullahi atau lebih dikenali dengan nama julukan Farmajo dilaporkan tidak mahu meletakkan jawatan sekali gus telah mencetuskan satu krisis politik di negara tersebut yang telah pun berada dalam perpecahan.

Iklan

Negara itu dilaporkan sudah berdepan dengan krisis perlembagaan lebih dua minggu lalu setelah seorang penentang Farmajo memberitahu Washington Post bahawa Presiden Somalia tersebut memerintah tanpa mendapat mandat rakyat.

Rundingan bagi mencari tarikh baharu pilihan raya menemui kegagalan dan ketidakstabilan politik mungkin menjejaskan usaha untuk menstabilkan kerajaan Persekutuan yang kini cuba untuk memulihkan ekonomi dan mendapatkan semula kawalan di wilayah-wilayah negaranya daripada kumpulan militan al-Shabab iaitu sekutu Al-Qaeda.

Iklan

Pada 8 Februari 2017, Mohamed Abdullahi dipilih untuk menjadi Presiden Somalia yang kesembilan setelah menang melalui undian dengan menewaskan bekas Presiden, Sheikh Sharif dan Presiden Somalia ketika itu, Hassan Sheikh Mahmoud.

Menurut portal berita Deutsche Welle, Presiden Somalia dipilih oleh wakil-wakil rakyat yang terdiri daripada 275 ahli Parlimen dan 54 Senator.

Di bawah sistem pilihan raya negara berkenaan, ahli-ahli Parlimen Somalia dipilih oleh seramai 27,775 pengundi.

Para pengundi itu pula dipilih oleh segolongan orang lebih tua setelah mendapat restu daripada ketua suku kaum.

Para Senator negara itu yang mempunyai 54 Senator dan juga dikenali sebagai Dewan Tertinggi pula dipilih semasa pilihan raya Parlimen diadakan.

Bagaimanapun, Somalia gagal untuk memilih wakil-wakil rakyat baharu yang sepatutnya diadakan pada hujung tahun lalu menyebabkan pemilihan Presiden Somalia yang baharu dan ke-10 juga tidak dapat diadakan.

Bunyi tembakan kedengaran di Mogadishu pada pagi Jumaat lalu yang berlaku disebabkan krisis perlembagaan di Somalia. - Foto AFP

Berikutan penggal pemerintahan empat tahun Mohamed Abdullahi itu sudah berakhir, para pemimpin di dua buah negeri di Somalia baru-baru ini menyatakan bahawa mereka tidak lagi mengiktiraf beliau sebagai Presiden.

Somalia juga tidak mempunyai kerajaan pusat yang efektif sejak runtuhnya rejim tentera Siad Barre pada tahun 1991 sehingga membawa kepada Perang Saudara dan konflik antara penduduk suku kaum di negara tersebut.

Undian bagi memilih ahli-ahli Parlimen itu sepatutnya dijadualkan diadakan pada tahun 2020 tetapi ditunda dua kali kerana pergaduhan berhubung pilihan raya tersebut antara kerajaan pusat di Mogadishu dan negeri-negeri yang diberikan taraf semi autonomi.

Pergaduhan berhubung isu bagaimana undian dilakukan berhubung pemilihan Presiden Somalia juga dikatakan berlaku sehingga menyebabkan Mohamed Abdullahi yang merupakan bekas Perdana Menteri masih memegang jawatan tersebut.

Pada awal Jumaat lalu, sebuah hotel yang menjadi tempat dua calon Presiden Somalia tinggal menjadi sasaran serangan tembakan senjata sehingga bekas pembantu Mohamed Abdullahi, Hassan Ali Khaire menganggapnya sebagai satu percubaan membunuh.

Seorang lagi calon yang juga bekas Presiden, Sharif Ahmad dilaporkan berkata, serangan itu adalah atas arahan Mohamed Abdullahi.

Berikutan kejadian serangan itu, pihak berkuasa tempatan dilaporkan mengumumkan penutupan lapangan terbang di Mogadishu.

Keadaan tidak menentu dilaporkan berlaku di Mogadishu dan tiada konsensus dilaporkan ditemui tentang tarikh baharu pilihan raya bagi membolehkan Presiden Somalia ke-10 dipilih manakala pihak pembangkang kecewa dengan suasana yang berlaku itu.

Rakan dan penyumbang kewangan utama Somalia iaitu Amerika Syarikat (AS) mendesak supaya keganasan ditamatkan di Mogadishu dan meminta perundingan diadakan supaya satu pilihan raya baharu diadakan.

Pada bulan lalu, pentadbiran bekas Presiden AS, Donald Trump mengumumkan seramai 700 askar AS di Somalia dipindahkan keluar dan ditempatkan di Kenya dan Djibouti tetapi ia masih meneruskan nasihat serta memberikan latihan ke atas pasukan khas negara tersebut. - Agensi