SATU berita dari Mahkamah Persekutuan agak mengejutkan berlaku pada Jumaat lalu. Ia berkaitan keputusan yang dibuat oleh hakim mahkamah.
Seperti yang dilaporkan, Mahkamah Persekutuan memutuskan portal berita, Malaysiakini bersalah kerana menghina mahkamah menerusi komen yang dibuat pembacanya.
Akibatnya, portal berita tersebut dihukum denda sebanyak RM500,000.
Jumlah denda ini cukup tinggi. Malahan kesan daripada hukuman yang dijatuhkan itu memang ada kena-mengena dengan kita semua.
Keputusan yang dibuat hakim itu dengan kata lain pemilik akaun sama ada Facebook, Twitter, Instagram dan sebagainya akan terima padah sekiranya membiarkan komen-komen netizen yang bukan-bukan muncul dalam akaun media sosial mereka.
Sekiranya pemilik akaun tidak menapis atau membuang tulisan-tulisan netizen berbentuk makian, tuduhan berbentuk fitnah, menghina mana-mana jabatan dan agensi kerajaan, nasib mereka tentu akan sama seperti yang diterima oleh Malaysiakini.
Kita sedar netizen di negara kita memang hebat-hebat belaka. Selain pantas menyebarkan maklumat dan berita terkini, mereka juga cekap memberi pendapat dan berkongsi idea.
Golongan netizen ini sepatutnya boleh menjadi wartawan yang hebat kerana kadang-kala mereka berjaya memperoleh berita lebih cepat daripada wartawan arus perdana.
Bagaimanapun, tidak kurang juga ada netizen yang kononnya mengaku mereka hebat, tetapi sebenarnya komen yang disampaikan langsung tidak beretika.
Golongan netizen inilah yang perlu diawasi oleh pemilik akaun media sosial. Mereka akan tulis ‘ikut sedap mulut’. Mereka tidak pernah mengamalkan tata tertib dalam dunia media sosial.
Kita perlu ada kebebasan bersuara. Tetapi bukan bersuara secara sebebas-bebasnya.
ARTIKEL BERKAITAN: Malaysiakini didenda RM500,000 kerana hina mahkamah
Implikasi terhadap hak kebebasan bersuara rakyat
76 wakil rakyat pembangkang bimbang kebebasan media dikekang