BAGI menebus kehampaan musim lalu, Terengganu Hockey Team (THT) menyasarkan sekurang-kurangnya membawa pulang satu trofi kejuaraan pada saingan Liga Hoki Malaysia (MHL) 2021.
Ketua Jurulatih THT, K Rajan berkata, pasukannya akan mula 'berkampung' di Kuala Lumpur pada Selasa bagi mengikuti prosedur gelembung sukan sebelum MHL 2021 membuka tirai secara rasmi mulai 11 Mac hingga 3 April depan.
"Sebagai kaedah terbaik kejohanan ini dapat dilangsungkan, semua pihak yang terlibat baik pemain mahupun pegawai pasukan perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan kerajaan.
"Mulai 25 Februari ini, kami akan mula berlatih di Stadium Hoki Nasional di Bukit Jalil sebagai persiapan akhir menghadapi MHL 2021. Buat masa ini, semua pemain berada dalam keadaan baik.
"Tetapi jika ditanya tentang sasaran, saya harap kami dapat sekurang-kurangnya meraih satu piala. Saya yakin dengan barisan pemain yang ada dan mereka mampu melakukannya,” katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.
Pada saingan MHL musim lalu, THT terpaksa berputih mata apabila dikecewakan Universiti Kuala Lumpur (UniKL) pada aksi Piala Sumbangsih dan final Piala TNB selain turut terlepas kejuaraan Liga Premier.
Dalam pada itu, Rajan berkata, ketiadaan pemain import dalam saingan MHL musim ini akan membuka peluang kepada kesemua pasukan yang bertanding untuk merebut kejuaraan.
"Kami akan bermain dengan menggunakan khidmat pemain tempatan. Saya harap pemain-pemain tempatan yang membarisi THT musim ini mampu untuk menampilkan aksi dan kemahiran terbaik mereka.
"Ini masanya untuk mereka menonjol. Gandingan pemain senior dan muda merupakan ramuan terbaik dalam memberikan cabaran kepada pasukan seperti UniKL, TNB dan Maybank,” jelasnya.