MELAKA - Kerajaan Melaka akur dengan keputusan Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang tidak membenarkan pergerakan rentas daerah dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) 2.0.
Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md Ali berkata, pihaknya menerima keputusan itu dengan hati terbuka untuk kebaikan semua pihak bagi mengekang penularan Covid-19.
Iklan
Iklan
Menurutnya, bagaimanapun usaha kerajaan negeri memohon pertimbangan kebenaran merentas daerah bertujuan merancakkan kembali pelancongan domestik yang terjejas sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) awal Januari lalu.
"Kita dah mohon (rentas daerah) bagi menggalakkan pelancongan domestik tetapi tidak dibenarkan.
"Kalau dibenarkan pelancong domestik rentas daerah kita dapat meningkatkan dan membantu sektor pelancongan di Melaka. Jadi kita tunggu sehingga dibenarkan," katanya selepas melawat Projek Tanaman Cili Menggunakan Teknologi Hijau di Bandar Hijau, Ayer Keroh, di sini pada Selasa.
Jumaat lalu, kerajaan negeri membuat permohonan rasmi untuk membenarkan aktiviti rentas daerah bagi memulihkan semula ekonomi negeri.
Exco Pelancongan, Warisan dan Kebudayaan, Datuk Muhammad Jailani Khamis berkata, dengan kebenaran itu sekurang-kurangnya dapat mengurangkan kerugian yang dialami sebelum ini terutama membabitkan sektor perhotelan yang terjejas teruk.