ALOR SETAR - Sembilan sekeluarga kehilangan tempat berteduh selepas rumah mereka di Jalan Gunung Keriang, di sini hangus dalam kebakaran pada Isnin.
Dalam kejadian kira-kira jam 12 tengah hari, mangsa, Khairul Hafiz Hamid, 38, tidak sempat menyelamatkan barangan berharga termasuk wang tunai RM30,000 apabila api marak dengan terlalu cepat.
Khairul Hafiz berkata, ketika kejadian, dia yang baru pulang dari Alor Janggus, di sini bercadang untuk makan dan solat sebelum menyedari asap dari luar rumah melalui tingkap biliknya.
"Saya berlari untuk mengambil air bagi memadamkan api yang semakin marak tetapi tidak dapat berbuat apa-apa kerana terjatuh di tangga.
"Kemudian saya meminta emak keluar menyelamatkan diri bersama anak saya dan kami tidak sempat mengambil barang berharga," katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.
Menurutnya, semua peralatan dan perabot termasuk peti ais, televisyen dan komputer riba musnah dalam kebakaran itu melibatkan kerugian dianggarkan sekitar RM50,000.
"Lebih menyedihkan beberapa kenderaan termasuk van yang saya gunakan untuk mencari rezeki dan motosikal adik ipar juga rentung dalam kebakaran tersebut.
"Saya ada RM10,000 duit hasil pusingan modal berniaga yang belum sempat dimasukkan dalam bank manakala RM20,000 duit hasil tuaian padi ayah, Hamid Din, 68, yang turut diletakkan dalam rumah.
"Ketika ini, rasa sedih dalam hati tidak dapat digambarkan kerana kehilangan segalanya dan ibarat sudah jatuh ditimpa tangga, malah pakaian yang dipakai juga diterima daripada jirannya," katanya.
Khairul Hafiz berkata, ketika ini mereka sembilan sekeluarga menumpang sementara di rumah berdekatan kediaman keluarganya yang musnah dalam kebakaran itu.
Sementara itu, Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penguasa Bomba 1 Mohamadul Ehsan Mohd Zain berkata, pihaknya menerima panggilan jam 12.11 tengah hari.
"Setiba di lokasi kejadian, sepasukan anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Alor Setar mendapati kebakaran melibatkan dua rumah dengan peratus kebakaran 90 peratus.
"Kebakaran di kediaman pertama turut membabitkan dua kenderaan termasuk van jenis Nissan Vannete dan sebuah motosikal jenis Yamaha Y157," katanya.
Menurutnya, anggota BBP Alor Setar dibantu Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Kuala Kedah, PBS Kampung Berjaya dan PBS Seberang Nyonya mengawal dan memadamkan kebakaran menggunakan air dari jentera.
Beliau berkata, operasi pemadaman terkawal kira-kira jam 12.57 tengah hari dan pemeriksaan dilakukan bagi memastikan tiada lagi punca api dan asap di lokasi itu.