PASIR MAS - Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 8 Pengkalan Chepa merampas dadah jenis syabu seberat 107 kilogram (kg) bernilai RM4.28 juta di Lubok Gong, Rantau Panjang di sini pada Isnin yang mampu memenuhi 'keperluan' 107,000 orang penagih sekiranya bahan terlarang itu terlepas ke pasaran gelap.
Perkara itu didedahkan oleh Komander Briged Tenggara PGA, Senior Asisten Komisioner Hasan Basri Ahmad Safar berpandukan kepada maklumat dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan.
"Kejayaan rampasan itu hasil pemerhatian dan intipan selama 10 jam yang dilakukan oleh PGA Batalion 8 di sebuah tapak rumah terbiar yang terbakar empat tahun lalu.
"Sejurus menerima maklumat pada jam 4 pagi, sepasukan anggota dan pegawai terus digerakkan ke lokasi untuk membuat pemantauan," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Mas pada Selasa.
Hadir sama, Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPK Kelantan, Asisten Komisioner Sheik Azhar Sheik Omar dan Pegawai Pemerintah PGA 8, Superintanden Mohamad Shamsudin.
Menurutnya, pemeriksaan di kawasan itu telah menemui enam bungkusan hitam berada di bawah tangga tapak rumah berkenaan.
Hasan Basri berkata, pemeriksaan ke atas bungkusan itu membawa kepada penemuan 107 bungkusan syabu setiap satunya seberat 1kg.
"Siasatan awal mendapati dadah ini dipercayai dibawa masuk dari negara jiran menggunakan laluan haram.
"PGA tidak menolak kemungkinan dadah-dadah itu untuk pasaran tempatan dan luar Kelantan bergantung kepada permintaan," katanya.
Menurutnya, selang beberapa jam selepas itu PGA Batalion 8 sekali lagi merakamkan kejayaan apabila merampas 171 biji pil kuda selepas menahan dua lelaki di Kampung Kubang Puyu di sini pada hari sama.
Katanya, dalam serbuan jam 4.30 petang itu, PGA turut merampas sebuah kereta jenis Toyata Estima.
"Nilai keseluruhan rampasan termasuk kenderaan dianggarkan bernilai RM61,710. Saringan air kencing mendapati kedua-dua suspek positif dadah jenis Meth," katanya.