KLANG - Dua lelaki yang baru bebas dari penjara atas kesalahan Akta Pencegahan Jenayah (POCA) 1959 antara empat individu yang diberkas terlibat kes pecah masuk sekolah di sekitar daerah ini baru-baru ini.
Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner Nurulhuda Mohd Salleh berkata, kesemua suspek ditahan sepasukan Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Utara pada 16 dan 17 Februari lalu.
Menurutnya, geng ini dipercayai terlibat dalam lima pecah masuk di sekolah rendah, sekolah menengah dan tadika di Kapar dengan kerugian RM10,000.
"Modus operandi geng ini adalah aktif sekitar jam 5 hingga 6 pagi dengan memanjat pagar sekolah sebelum mengumpil pintu dan mengambil barangan berharga seperti komputer, komputer riba dan wang tunai.
"Hasil jenayah akan dijual kepada warga asing sebelum wang yang diperoleh dibahagi sama rata sesama mereka," katanya dalam sidang akhbar di IPD Klang Utara pada Selasa.
Beliau berkata, semakan mendapati tiga antara suspek memiliki rekod kes dadah dan jenayah lampau.
Katanya, malah dua daripada suspek baru bebas daripada penjara Bentong, Pahang dan Kajang, Selangor pada Januari lalu atas kesalahan POCA.
"Siasatan masih dijalankan untuk mengesan seorang lelaki dikenali sebagai Muhammad Taufik Adam Abdullah dengan alamat terakhir di Kapar, Klang bagi membantu siasatan," katanya.
Kesemua suspek berusia lingkungan 20 hingga 40-an dan positif dadah itu kini masih direman untuk disiasat di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan.