Kerajaan digesa pertimbang semula hantar pulang warga Myanmar

Iklan
Dari kiri, Anwar, Mohamad dan Guan Eng

SHAH ALAM – Kerajaan perlu mempertimbang semula keputusan menghantar pulang 1,200 warga Myanmar ke negara mereka.

Pakatan Harapan (PH) menerusi satu kenyataan berkata, tindakan sedemikian akan mengesah dan mengiktiraf junta tentera di Myanmar.

Iklan
Iklan

"Tindakan menghantar pulang pelarian ke zon konflik sebelum keadaan benar-benar stabil dan selamat mungkin menjejaskan keselamatan pelarian.

"PH menggesa kerajaan Malaysia memulakan dialog di antara pemimpin Asean dan junta Myanmar untuk menghentikan kekerasan terhadap penunjuk perasaan, membebaskan semua tahanan politik serta mengembalikan demokrasi dan institusi Parlimen di Myanmar,” katanya menerusi kenyataan pada Selasa.

Iklan

Kenyataan itu dikeluarkan oleh Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim; Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung Parti Tindakan Demokratik (DAP), Lim Guan Eng.

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur sebelum ini membenarkan penangguhan sementara terhadap keputusan kerajaan menghantar pulang 1,200 warga Myanmar yang sudah dibawa ke pangkalan tentera laut Lumut.

Iklan

Kumpulan itu dijadualkan pulang dengan menaiki kapal tentera laut Myanmar pada Selasa dari pangkalan tentera laut Lumut.

Kumpulan hak asasi manusia, Amnesty International dan Asylum Access memohon perintah mahkamah untuk menghentikan pengusiran itu dengan berkata, tiga orang berdaftar dengan Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) dan 17 kanak-kanak mempunyai sekurang-kurangnya seorang ibu atau bapa di Malaysia dalam kalangan mereka yang akan diusir itu.

PH menambah, jika benar terdapat sejumlah kanak-kanak dalam kalangan 1,200 warga Myanmar yang bakal dihantar pulang dan dipisahkan daripada ibu bapa mereka, ia adalah satu keadaan yang membimbangkan.

"Kami memohon pihak berkuasa dengan kerjasama UNCHR segera mengesahkan sama ada perkara ini adalah benar atau tidak,” katanya.